KKDW-MOF bercanggah, jangan anggap PH-BN dah retak – Kamil
Pertikaian berhubung peruntukan projek luar bandar antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kewangan (MOF) tidak seharusnya dilihat sebagai tanda keretakan hubungan politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata perbezaan pendekatan dalam sesuatu isu adalah perkara biasa dalam kerjasama politik dan tidak semestinya menjejaskan hubungan kedua-dua gabungan.
Katanya, PH dan BN juga pernah menggunakan pendekatan serta laluan politik berbeza ketika menghadapi pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan, namun perkara itu tidak menghalang kerjasama antara kedua-dua gabungan.
“Tidak berbangkit tentang soal terjejas. Kita dalam pilihan raya bukan PRN Melaka saja, di Johor dan Negeri Sembilan pun kita memang mengambil jalur yang berbeza,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Adat Istiadat Khatam Keris Peringkat Kebangsaan di Lumut, hari ini.
Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyarankan supaya perbezaan pandangan antara KKDW dan MOF diselesaikan secara harmoni menerusi perbincangan dalaman antara kedua-dua kementerian.
Menurutnya, perbincangan di peringkat MOF akan meneliti semula keperluan peruntukan serta memastikan projek pembangunan masyarakat desa yang mempunyai impak tinggi diberikan keutamaan.
Isu itu sebelum ini mencetuskan perhatian selepas wujud kenyataan berbeza membabitkan peruntukan projek pembangunan luar bandar, termasuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai masalah kelewatan bayaran yang dihadapi kontraktor.
Ahmad Zahid sebelum ini berkata kelewatan tersebut memberi kesan kepada kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan dan menegaskan isu pembayaran perlu diselesaikan supaya masalah aliran tunai tidak berlarutan.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, menjelaskan pada 2 September bahawa tiada sekatan terhadap peruntukan projek jalan luar bandar KKDW, malah keseluruhan peruntukan berkenaan telah disalurkan. Kekangan pembayaran pula dikaitkan dengan peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan.
Pertikaian itu turut menjadi polemik politik apabila Kamil sebelum ini menyifatkan perbelanjaan melebihi peruntukan sebagai tidak wajar, sebelum Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, membidasnya dan mempersoalkan kefahaman Kamil mengenai asas kewangan kerajaan.
Dalam perkembangan berasingan, Kamil turut mengulas cadangan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, supaya kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dengan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi berdasarkan hujah dan analisis sendiri.
Katanya, pendirian kerajaan ketika ini masih kekal untuk meneruskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), manakala sebarang perubahan dasar percukaian perlu mengambil kira keadaan dan keperluan semasa.
“Buat masa hari ini, setakat ini, pendekatan dan juga keputusan kerajaan ialah untuk terus dengan dasar yang sedia ada,” katanya. Lim sebelum ini mencadangkan GST dikembalikan sekiranya sistem itu didapati lebih berkesan berbanding SST.- BERNAMA
BACA JUGA Baja pesawah MADA lewat, Anwar arah SPRM masuk siasat