Krisis iklim makin menggila, Malaysia mahu kerjasama global lebih rapat
Kesan perubahan iklim yang semakin sukar dijangka menuntut Malaysia memperkukuh kerjasama dengan negara lain bagi menangani krisis yang turut memberi kesan kepada keselamatan, kesihatan, pekerjaan dan sektor pertanian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dibincangkan beliau bersama bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, ketika pertemuan di Singapura baru-baru ini.
Menurutnya, perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada krisis iklim serta kesan perubahan alam sekitar yang semakin ketara di seluruh dunia.
Anwar berkata antara isu yang disentuh ialah pencairan glasier dan ais di pergunungan Himalaya yang boleh mencetuskan banjir besar serta mengancam nyawa dan keselamatan penduduk.
Beliau turut mengaitkan isu alam sekitar dengan kejadian jerebu yang melanda beberapa kawasan, termasuk di Serian, Sarawak, yang menurutnya mencecah bacaan lebih 500 baru-baru ini.
Katanya, keadaan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan keselamatan rakyat, malah turut memberi kesan kepada hasil ladang serta pekerjaan masyarakat.
“Maknanya keselamatan dan kesihatan rakyat, hasil ladang, pekerjaan mereka. Semua itu terjejas dan kita harus beri perhatian kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 di MAEPS, Selangor.
Anwar berkata Malaysia perlu mengambil langkah terhadap perkara yang masih boleh dirancang, termasuk melaksanakan peralihan tenaga dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta arang batu.
Beliau turut memaklumkan mengenai usaha memperkukuh kerjasama tenaga dengan negara jiran, termasuk Vietnam, Sarawak, Singapura serta negara-negara di rantau ini.
Menurutnya, hubungan baik dengan semua negara termasuk AS, China, Australia dan negara ASEAN perlu dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat serta memperkukuh kerjasama dalam menghadapi cabaran bersama.
Anwar berkata isu perubahan iklim juga mempunyai kaitan rapat dengan sektor pertanian kerana perubahan cuaca dan bencana alam boleh menjejaskan pengeluaran makanan, pendapatan petani serta keterjaminan makanan negara.
Justeru, Malaysia perlu terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dan merancang langkah yang mampu mengurangkan kesan perubahan iklim, selain memastikan sektor pertanian bersedia menghadapi cabaran alam sekitar yang semakin tidak menentu.
BACA JUGA Langkah berani DAP angkat 30 peratus calon di kalangan kepimpinan wanita