Langkah berani DAP angkat 30 peratus calon di kalangan kepimpinan wanita

ZAHID AMRAN

Komitmen DAP untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) merupakan satu langkah progresif yang wajar dipuji.

Dalam politik Malaysia yang masih didominasi lelaki, keberanian memberikan lebih banyak ruang kepada wanita bukan sekadar soal memenuhi kuota.

Ia menunjukkan kesungguhan sebuah parti untuk memastikan suara wanita turut berada di barisan hadapan dalam proses membuat keputusan negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sendiri menegaskan bahawa sasaran 30 peratus itu bukan janji yang muncul semalam.

Komitmen tersebut telah dinyatakan sejak Kongres DAP pada 2023 dan kini terus dibawa menuju PRU16.

Ini penting kerana pemerkasaan wanita tidak sepatutnya diletakkan di bahu DAP Wanita sahaja.

Sebaliknya, seluruh kepimpinan parti termasuk pemimpin lelaki perlu memainkan peranan membuka ruang, membina bakat baharu dan memastikan lebih ramai wanita berpeluang menjadi wakil rakyat serta pemimpin negara.

Dalam hal ini, DAP sedang menunjukkan contoh bahawa keterwakilan wanita perlu menjadi agenda seluruh parti.

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching turut membawa perbincangan ini selangkah ke hadapan apabila mengetengahkan cadangan dana insentif perwakilan politik wanita.

Antaranya termasuk pembiayaan kempen secara sekali bayar dan peruntukan tahunan kepada parti berdasarkan jumlah serta peratusan wakil rakyat wanita yang berjaya dipilih.

Cadangan sebegini boleh membantu mengurangkan halangan yang selama ini menyukarkan lebih ramai wanita menyertai politik secara aktif.

Malah, idea untuk mempertimbangkan undang-undang berkaitan pariti gender juga menunjukkan keberanian untuk melihat isu keterwakilan wanita secara lebih menyeluruh dan jangka panjang.

Malaysia mempunyai ramai wanita berkebolehan dalam bidang profesional, pendidikan, perniagaan, aktivisme dan pentadbiran.

Sudah tentu bakat serta pengalaman mereka juga diperlukan dalam politik.

Sebab itu sasaran 30 peratus calon wanita DAP pada PRU16 harus dilihat sebagai permulaan yang baik.

Lebih ramai wanita diberikan peluang, lebih luas perspektif yang dapat dibawa ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Jika komitmen ini berjaya direalisasikan, DAP bukan sahaja mengangkat kepimpinan wanita dalam parti sendiri, malah boleh menjadi contoh kepada parti politik lain bahawa wanita bukan sekadar pelengkap dalam politik.

Mereka juga layak berada di barisan hadapan kepimpinan negara.

BACA JUGA Mat Sabu sahut gesaan PMX, buka pintu untuk SPRM siasat isu baja