Mat Sabu sahut gesaan PMX, buka pintu untuk SPRM siasat isu baja
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat pembekal yang gagal memenuhi komitmen penghantaran Baja 3 kepada pesawah di kawasan MADA.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan itu susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti isu kelewatan pembekalan baja berkenaan.
Menurutnya, KPKM menyambut baik arahan tersebut dan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi memastikan setiap persoalan berkaitan proses pembekalan dapat diperjelaskan.
“Bagi saya, perkara ini perlu disiasat secara telus dan menyeluruh. KPKM akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi memastikan setiap persoalan berkaitan proses pembekalan ini dapat diperjelaskan,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad berkata, berdasarkan rekod KPKM, syarikat pembekal gagal memenuhi komitmen penghantaran yang telah ditetapkan sehingga menyebabkan bekalan kepada pesawah mengalami kelewatan.
Katanya, kegagalan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah, malah turut menjejaskan imej KPKM dan Kerajaan MADANI.
“Atas sebab itu, KPKM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kegagalan syarikat berkenaan selaras dengan peraturan serta terma kontrak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan baki bekalan Baja 3 dapat disalurkan kepada pesawah dengan segera.
Mohamad berkata pemantauan terhadap proses pembekalan juga akan diperketatkan bagi memastikan masalah sama tidak berulang pada masa hadapan.
Sebelum ini, Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 berkata beliau telah meminta SPRM masuk menyiasat dan meneliti semula proses berkaitan kelewatan pengedaran baja kepada pesawah di Kedah.
Perdana Menteri turut meminta pihak yang diberikan amanah memastikan bekalan baja dihantar mengikut komitmen yang ditetapkan supaya pesawah tidak menjadi mangsa akibat kelemahan pengurusan.
BACA JUGA Hadi dituntut jawab adakah Pas kompromi kedaulatan negara?