Mesyuarat Kabinet lancar, kami tak sembang isu politik
Urusan pentadbiran kerajaan antara Umno dan Pakatan Harapan (PH) masih berjalan lancar tanpa sebarang pergolakan dalam Jemaah Menteri setakat ini, kata Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang.
Beliau berkata kerjasama antara menteri daripada kedua-dua blok politik itu kekal baik, termasuk dalam mesyuarat Kabinet yang membincangkan isu berkaitan pentadbiran dan kepentingan negara.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Chang berkata semua menteri Umno turut hadir dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan perbincangan berlangsung secara serius tanpa mencampurkan urusan politik kepartian.
“Kita tidak sembang politik dalam mesyuarat Kabinet, jadi setakat ini tiada apa-apa (perubahan).
“Tapi kita tengoklah perkembangan, apa yang akan berlaku sebab bab politik ini urusan parti tetapi dalam Kabinet saya boleh mengesahkan tiada apa-apa pergolakan,” katanya.
Chang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian ketika ditemui pada Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri, hari ini.
Beliau ditanya mengenai dakwaan hubungan Umnodan PH semakin renggang susulan PH dikatakan tidak dijemput menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang dijadual bermula Rabu ini.
Bagaimanapun, Chang berkata beliau tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan.
“Saya tidak pasti lagi, kena semak dengan Setiausaha Agung (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail),” katanya.
Sebelum ini, Presiden Umni, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata parti itu tidak menjemput PH menghadiri PAU 2026.
Perkembangan itu berlaku ketika hubungan politik antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan menjadi perhatian, khususnya selepas Zahid mengesahkan pertemuannya dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Bangkok.
Pertemuan itu dilaporkan antara lain membincangkan isu berkaitan penyatuan Melayu dan Islam.
Bagaimanapun, berdasarkan penjelasan Chang, perkembangan di peringkat parti setakat ini tidak menjejaskan perjalanan urusan kerajaan dan kerjasama dalam Kabinet.
Ini bermakna, sekurang-kurangnya buat masa ini, dinamika politik antara Umno dan PH masih dipisahkan daripada urusan pentadbiran kerajaan.
BACA JUGA Syurga milik Allah bukan Pas, Adun AMANAH bidas kenyataan Takiyuddin