Syurga milik Allah bukan Pas, Adun AMANAH bidas kenyataan Takiyuddin
“Syurga milik Allah, bukan janji mana-mana pemimpin politik”.
Demikian teguran ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim terhadap kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengaitkan perjuangan melalui Pas dengan ganjaran syahid dan syurga.
Dr Hafidzah yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kelantan berkata, tiada mana-mana parti politik boleh mendakwa dirinya sebagai pintu ke syurga kerana Pas tetap sebuah organisasi politik ciptaan manusia.
“Saya amat kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mengaitkan penyertaan dan perjuangan melalui PAS dengan jaminan syahid serta masuk syurga.
“Dalam Islam, tiada mana-mana parti politik boleh mendakwa dirinya sebagai pintu ke syurga.
“Pas hanyalah sebuah organisasi politik ciptaan manusia—bukan agama dan bukan penentu iman seseorang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memetik Surah al-Najm ayat 32 yang mengingatkan manusia supaya tidak menganggap diri sendiri sebagai suci kerana hanya Allah mengetahui siapa yang benar-benar bertakwa.
Menurutnya, syurga merupakan rahmat dan hak mutlak Allah SWT, manakala penilaian terhadap seseorang berasaskan iman, ketakwaan, keikhlasan serta amal soleh dan bukannya keanggotaan mana-mana parti politik.
“Memperjuangkan Islam ialah tanggungjawab semua umat Islam dan tidak pernah menjadi hak eksklusif Pas,” katanya.
Menyuburkan ketaksuban
Dalam masa sama, Dr Hafidzah memberi amaran bahawa kenyataan sedemikian boleh mengelirukan masyarakat, menyuburkan ketaksuban serta menimbulkan persepsi seolah-olah mereka yang tidak bersama Pas kurang Islam atau terpinggir daripada rahmat Allah.
Beliau sebaliknya menggesa parti politik bersaing melalui dasar, hujah dan khidmat kepada rakyat tanpa menggunakan isu syurga sebagai tarikan politik.
“Berpolitiklah dengan dasar, hujah dan khidmat kepada rakyat. Jangan memperdagangkan syurga untuk meraih sokongan politik.
“Islam milik Allah, bukan milik Pas. Syurga milik Allah, bukan janji mana-mana pemimpin politik,” katanya.
Pada 4 September lalu, Takiyuddin dalam ceramah Sambutan Jubli Intan 75 tahun Pas di Kota Bharu berkata, seseorang boleh mendapat tempat di syurga melalui perjuangan dibawa mereka.
Walaupun mengakui parti itu sekadar sebuah pertubuhan politik, Takiyuddin menegaskan wadah perjuangan mereka berteraskan Islam dan selaras dengan ajaran yang diperintahkan Allah SWT.
“Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan kita akan diberikan ganjaran pahala, dan kita akan masuk syurga.
“Jadi dia (pihak lawan) kata pula (menyindir), masuk Pas ni masuk syurga…Yalah, masuk Pas (dan) terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam sama ada di dunia ataupun di akhirat.
“Masuk Pas cara itu, insya-Allah kita boleh masuk syurga apabila kita mati kelak. Itu pasti tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi.
BACA JUGA Pas cuba rapat Umno, tapi Anwar tetap sukar dijatuhkan selagi Zahid bersama PMX