Umno dah ‘kunci’ 21 kerusi, Pas pula kena telan syarat BN atau lawan di Melaka

Ketetapan Umno bahawa Barisan Nasional (BN) mahu bertanding sekurang-kurangnya 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal meletakkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan serba salah jika masih mahu bekerjasama dengan parti itu.

Penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kenyataan Presiden Umno di Melaka semalam membawa mesej secara tersurat dan tersirat mengenai pendirian BN dalam menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.

Beliau berpendapat secara tersurat, BN jelas mahu bertanding minimum 21 kerusi tanpa mengira dengan siapa Umno akhirnya memilih untuk bekerjasama.

Ini bermakna mana-mana parti yang mahu bergabung dengan Umno hanya mempunyai baki tujuh kerusi untuk ditandingi.

“Umno kelihatan sangat serius dengan keputusan tersebut, berulang kali ditegaskan,” katanya.

Dr Yusri berkata, mesej tersirat pula ialah BN bersedia bergerak solo sekiranya tiada parti sanggup menerima syarat pembahagian kerusi tersebut.

Katanya, BN turut mengulangi kejayaan besar yang dicapai dalam PRN lalu apabila parti itu berani mengambil keputusan bertanding secara solo.

Situasi itu, menurutnya, paling memberi tekanan kepada Pas yang begitu bersungguh-sungguh mahu kembali bekerjasama dengan Umno.

“Dalam kes ini, dilema paling besar adalah kepada PAS yang sangat obses untuk bekerjasama dengan Umno.

“Sedia atau tidak PN yang dipimpin Pas bertanding hanya tujuh kerusi?

“Daripada tujuh tersebut, hanya tiga berpotensi menang, manakala empat lagi agak mencabar,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Yusri berkata, Pas kini berdepan dua pilihan utama, sama ada menggunakan model Negeri Sembilan dengan bekerjasama bersama BN dan bertanding hanya tujuh kerusi, atau memilih model Johor dengan PN meletakkan calon di kerusi sasaran termasuk bertembung dengan BN di beberapa kawasan.

Dalam model kedua itu, bagi kerusi yang tidak ditandingi PN, ahli dan penyokongnya boleh diarahkan mengundi calon BN.

Namun, sekiranya kedua-dua pendekatan itu tidak diterima, Dr Yusri berkata, PN masih mempunyai pilihan ketiga iaitu bertanding di semua kerusi.

“Itu juga ada asas yang kuat kerana dalam PRU15 November 2022, sokongan terhadap PN agak kukuh.

“PN menang undi di 10 kerusi DUN, berbanding BN yang hanya menang undi empat DUN,” kata Dr Yusri lagi.

BACA JUGA Syurga milik Allah bukan Pas, Adun AMANAH bidas kenyataan Takiyuddin