RUU355 kembali jadi modal Pas, Hadi ulang skrip DAP halang Islam, tohmah PKR dan AMANAH ‘menikus’

Pas kembali mengulangi serangannya terhadap DAP serta rakan-rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dengan ‘menunggang’ kembali isu pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi siri Minda Presiden Pas terbaharunya mendakwa undang-undang warisan penjajah perlu dihapuskan kerana dianggap menghalang kedudukan Islam dan pelaksanaan syariat secara lebih menyeluruh.

Hadi turut mengaitkan Suruhanjaya Reid yang menggubal kerangka Perlembagaan menjelang kemerdekaan dengan apa yang disifatkannya sebagai usaha meneruskan penjajahan baharu secara halus.

Namun, tulisan Ahli Parlimen Marang selama lebih 30 tahun itu sendiri mengakui bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akhirnya terbentuk melalui rundingan dan tolak ansur antara pelbagai pihak, dengan hak penganut agama lain terus dipelihara dalam Perlembagaan.

Batas bidang kuasa

Dalam masa sama, Hadi kembali membangkitkan batas bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui Akta 355 yang menetapkan had hukuman maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Dikenali antara wakil rakyat yang terendah rekod kehadiran dalam persidangan di Dewan Rakyat, Hadi menegaskan bahawa batas bidang kuasa mahkamah tersebut menghalang pelaksanaan hukuman syariah yang lebih berat.

Walau bagaimanapun, beliau tetap mengakui bahawa Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara dan sebarang usaha melaksanakan undang-undang jenayah syariah secara lebih luas memerlukan pindaan Perlembagaan yang besar di Parlimen.

Daripada persoalan perundangan itu, artikel Hadi kemudian beralih menyerang Pakatan Harapan (PH) dengan menuduh DAP menjadi pencabar kepada usaha memperluaskan pelaksanaan Islam dan mempertahankan kerangka negara sekular.

“Namun begitu, beberapa parti yang ditubuhkan selepas kemerdekaan menjadi pencabar perubahan, khususnya Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP,” kata Hadi sambil menegaskan bahawa DAP tetap mempertahankan agenda negara sekular dan slogan “Malaysian Malaysia”.

Pemimpin Pas berusia 78 tahun itu juga seterusnya mendakwa DAP menguasai PH, sementara PKR dan AMANAH yang digelarkannya ‘PAN’ hanya “menikus” berhubung isu pindaan Akta 355.

“Pemimpin DAP secara konsisten mengetuai kempen menolak usul persendirian yang dibawa oleh Pas terhadap pindaan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) atau RUU 355 di Parlimen.

“PKR dan PAN hanya ‘menikus’ dalam isu berkenaan.

“Semua ini menunjukkan bahawa DAP menguasai Pakatan Harapan (PH) kerana semuanya menjadi kelu apabila parti itu tidak putus-putus melakukan provokasi terhadap agama Islam,” tulis Hadi lagi dalam artikelnya hari ini.

Diambil alih

Untuk rekod, RUU355 bermula sebagai Rang Undang-Undang Persendirian oleh Abdul Hadi pada 2016.

Usaha pindaan yang bertujuan menaikkan had maksimum bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah itu kini telah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan untuk dibentangkan sebagai RUU Kerajaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Undang-Undang pada 2024 dilaporkan telah menyelesaikan sesi libat urus peringkat akhir bersama semua kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Seterusnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan bahawa RUU 355 dijangka akan dibentangkan bersama draf akta baharu yang digubal khusus untuk memperkasakan struktur Mahkamah Syariah secara holistik.

Draf cadangan pindaan itu juga dilaporkan diteliti dengan rapi agar ia menjadi dokumen perundangan yang kukuh, disepakati oleh semua mufti, ulama, serta mendapat perkenan penuh Majlis Raja-Raja sebelum dibawa ke Parlimen.

Justeru, status rasmi pembentangan kini bergantung kepada kelulusan muktamad daripada Jemaah Menteri dan Majlis Raja-Raja Melayu sebelum tarikh sidang pembacaan semula di Dewan Rakyat diumumkan.

BACA JUGA Sembang PN-BN ‘penyelamat kesatuan ummah’, netizen bidas anggap hanya kesatuan kuasa