Duit dah lulus, projek tak siap-siap : Anwar minta ketua agensi turun padang

Projek pembangunan yang berstatus sakit, kelewatan daripada jadual serta kelembapan membelanjakan peruntukan yang telah diluluskan menjadi antara perkara yang mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat pembangunan negara.

Perkara itu dibangkitkan ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Anwar, dengan beliau menegaskan peruntukan pembangunan yang besar telah disediakan kerajaan untuk dilaksanakan kementerian dan agensi di seluruh negara.

Namun, kelulusan peruntukan semata-mata tidak seharusnya dijadikan ukuran kejayaan sekiranya pelaksanaan projek di lapangan masih berdepan kelewatan atau tidak bergerak seperti yang dirancang.

Anwar berkata keadaan itu menuntut setiap ketua jabatan dan agensi mengambil tanggungjawab secara langsung dengan turun sendiri ke lapangan bagi meneliti permasalahan yang menghambat pelaksanaan projek.

Menurutnya, pemimpin agensi perlu memahami sendiri kesukaran yang dihadapi sebelum mencari jalan penyelesaian dengan segera.

“Menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan agensi untuk turun sendiri ke lapangan, meneliti permasalahan yang dihadapi serta memahami kesukaran yang menghambat pelaksanaan sebelum segera mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan tidak boleh sekadar berpuas hati apabila sesuatu peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan manfaat yang sepatutnya diterima rakyat masih tertangguh akibat masalah pelaksanaan.

“Kita tidak boleh sekadar berpuas hati apabila peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan di lapangan masih tertangguh,” katanya.

Penegasan itu hadir ketika kerajaan terus memberi perhatian terhadap keberkesanan pelaksanaan projek pembangunan, khususnya supaya peruntukan yang telah disediakan benar-benar diterjemahkan kepada kemajuan fizikal dan manfaat kepada rakyat.

Dalam kenyataan sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kementerian, jabatan dan agensi yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Beliau berkata setiap peruntukan yang dibelanjakan perlu memberikan manfaat sebenar kepada rakyat dan negara, bukan sekadar memenuhi sasaran perbelanjaan atau proses pentadbiran.

Pendekatan tersebut memperlihatkan penekanan kerajaan bukan hanya kepada berapa banyak peruntukan yang diluluskan, tetapi juga sejauh mana wang awam itu diterjemahkan kepada projek yang siap, berfungsi dan memberi kesan kepada rakyat.

Justeru, isu projek sakit, kelewatan dan kelembapan perbelanjaan yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu memberi isyarat jelas bahawa kementerian serta agensi perlu mengambil tindakan lebih proaktif apabila pelaksanaan sesuatu projek mula berdepan masalah.

BACA JUGA Proklamasi jatuhkan Tuanku Muhriz tak sah!” Undang Sungei Ujong tampil bersuara