BN dapat saja jadi kerajaan Negeri Sembilan, ustaz pro-PH antara 12 yang ditarik tauliah

Tular surat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkenaan tauliah mengajar agama 12 individu yang ditarik dan dibatalkan.

Mereka termasuk beberapa tokoh serta bekas calon yang mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan (PH).

Berdasarkan surat itu, keputusan tersebut dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah dan Pendidikan Islam Negeri Sembilan Bilangan 2/2026 yang bersidang pada 18 Ogos lalu iaitu kira-kira dua minggu selepas kerajaan negeri bertukar tangan.

Surat bertajuk “Hebahan Penarikan dan Pembatalan Tauliah Mengajar Agama di Negeri Sembilan” itu diedarkan kepada pengerusi jawatankuasa kariah masjid, surau solat Jumaat dan surau di seluruh Negeri Sembilan supaya mengambil maklum keputusan berkenaan.

Sebanyak 12 nama disenaraikan iaitu:

1) Datuk Jaafar Muhammad – Penasihat Agama kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Pernah menjadi calon KeADILan bagi Parlimen Jelebu pada PRU 1999.

2) Nor Azman Mohamad – Calon PH DUN Sikamat juga bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar sebelum ini, Aminuddin Harun.

3) Mohd Fairuz Mohd Isa – ADUN Serting sejak 2023 merangkap Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan.

4) Ahmad Shahir Mohd Shah – Calon PH-AMANAH N.25 Paroi pada PRN 2026 juga bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar.

5) Muhammad Aqil Irfan Razali – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Rasah

6) Abdul Fatah Zakaria – ADUN N.31 Bagan Pinang merangkap Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Negeri Sembilan dan Yang Dipertua Pas Kawasan Port Dickson.

7) Mohd Umry Abdul Khois – Calon PH-PKR DUN Pertang pada PRN 2026, tetapi tewas kepada calon BN, Jalaluddin Alias.

8) Senator Dr Jufitri Joha – Senator PKR. Pernah menjadi calon PH-PKR Parlimen Rembau pada PRU15.

9) Zamani Ibrahim – Presiden Berjasa. Bertanding sebagai calon Berjasa di DUN Nilai pada PRN 2026.

10) Mohd Halim Abu Nawar – Ketua Dewan Ulamak Pas Kawasan Jelebu.

11) Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa – Bekas Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Negeri Sembilan. Calon Pas DUN Labu pada 2013 dan 2018 dan bertanding di Parlimen Rasah pada PRU14.

12) Mohd Shukri Samsudin – Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Rembau.

Apa yang menarik perhatian ialah lapan nama terawal itu bukan kali pertama dikenakan tindakan terhadap tauliah mereka.

Penggantungan sementara

Menjelang PRN lalu, JHEAINS telah menggantung sementara tauliah lapan individu yang sama sepanjang tempoh kempen atas alasan mengelakkan institusi agama daripada menimbulkan persepsi keberpihakan politik.

Ketika itu tindakan berkenaan secara jelas disebut sebagai penggantungan sementara, berkuat kuasa mulai 18 Julai sehingga notis baharu dikeluarkan.

Senarai berkenaan merangkumi Nor Azman, Ahmad Shahir, Mohd Umry, Mohd Fairuz, Abdul Fatah, Jufitri, Jaafar dan Muhammad Aqil.

Namun, selepas PRN selesai dan BN-PN membentuk kerajaan, istilah yang digunakan dalam surat terbaharu bukan lagi “gantung sementara”, sebaliknya “menarik dan membatalkan tauliah mengajar”.

Surat yang dikongsikan itu bagaimanapun tidak menjelaskan sebab khusus pembatalan bagi setiap individu.

Mengulas tindakan itu, kumpulan Facebook Sahabat Anwar Ibrahim mempersoalkan kepantasan perubahan tersebut selepas pentadbiran negeri bertukar tangan dan mendakwa individu yang cenderung kepada PH menjadi antara mereka yang terkesan.

Dalam masa sama, kumpulan itu malah menyindir PH kerana dianggap terlalu berhati-hati ketika berkuasa, berbanding lawan politik yang pantas menyusun pentadbiran sebaik sahaja memperoleh kuasa.

Mereka turut memberi amaran bahawa situasi di Negeri Sembilan wajar menjadi pengajaran kepada penyokong PH mengenai apa yang mungkin berlaku jika gabungan itu kehilangan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Untuk rekod, BN muncul blok terbesar dalam PRN Negeri Sembilan dengan 18 kerusi, manakala PH memperoleh 11 dan PN tujuh sebelum BN dan PN membentuk pentadbiran baharu.

BACA JUGA PH kemudi Negeri Sembilan stabil lapan tahun, BN-PN baru sebulan sudah huru-hara