Jerebu makin membimbangkan, Malaysia tawar bantuan padam kebakaran hutan Indonesia

Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi membantu menangani kebakaran hutan dan tanah di negara itu ketika risiko jerebu rentas sempadan semakin membimbangkan di rantau ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah mengutus surat kepada Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Mohammad Jumhur Hidayat bagi menyatakan kesediaan Malaysia menghulurkan bantuan.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), tawaran berkenaan merupakan susulan perbincangan Arthur bersama Mohammad Jumhur ketika pertemuan dua hala di Bali, Indonesia pada 8 Julai lalu.

Kedua-dua menteri turut mengadakan perbualan telefon pada 24 Ogos berhubung usaha menghadapi risiko kebakaran dan pencemaran jerebu merentas sempadan.

“Kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk memperkukuh tindakan pencegahan dan pemadaman awal bagi menghadapi risiko kebakaran dan jerebu merentas sempadan.

“Ia khususnya dalam keadaan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang meningkatkan risiko cuaca panas dan kering di rantau ini,” menurut kenyataan NRES hari ini.

Tawaran bantuan itu dibuat ketika isu jerebu kembali mendapat perhatian susulan keadaan pencemaran udara yang dilaporkan semakin buruk, khususnya di Sarawak.

Tidak terus berulang

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN berhubung isu pembakaran terbuka di negara jiran yang didakwa menyumbang kepada keadaan berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam juga akan mengutus surat kepada rakan sejawatannya bagi membincangkan isu tersebut.

Menurut Mohamad, masalah pencemaran udara perlu ditangani dengan sebaik mungkin bagi memastikan isu jerebu rentas sempadan tidak terus berulang pada masa hadapan.

Untuk rekod, keadaan kebakaran hutan dan jerebu di beberapa wilayah Indonesia semakin membimbangkan apabila jumlah titik panas meningkat, khususnya di Kalimantan dan Sumatera.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) sebelum ini menyatakan bulan September ini masih merupakan fasa kritikal kebakaran hutan dan lahan (karhutla) kerana cuaca kering, El Niño dan jumlah titik panas yang tinggi.

Pemantauan pada 2 September merekodkan 463 titik panas berkeyakinan tinggi di Kalimantan dan 264 di Sumatera, dengan asap daripada kebakaran berpotensi tersebar mengikut arah angin.

BACA JUGA BN dapat saja jadi kerajaan Negeri Sembilan, ustaz pro-PH antara 12 yang ditarik tauliah