Nak jatuhkan Anwar, tetapi siapa nak ganti, soal penganalisis
Jika BN dan PN benar-benar bergabung untuk menghadapi PRU16, persoalan paling besar bukan sekadar sejauh mana kerjasama itu mampu menumbangkan kerajaan sedia ada, tetapi siapa yang akan mereka tampilkan sebagai calon Perdana Menteri untuk berdepan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Sains Malaysia, Dr Noor Fareen Abdul Rahim, berkata gabungan BN-PN bakal berdepan dilema dalam menentukan tokoh yang mampu menjadi poster boy setanding Anwar sekiranya kerjasama politik itu direalisasikan.
Menurutnya, landskap politik negara menjelang PRU16 dijangka menyaksikan pertembungan sengit antara kepercayaan yang telah dibina dengan harapan rakyat terhadap masa depan negara.
Beliau berkata PRU16 seharusnya menjadi medan untuk rakyat menilai bukan sahaja populariti seseorang pemimpin, tetapi turut melihat rekod prestasi, dasar serta impak sebenar yang telah dibawa kepada negara.
Katanya, Kerajaan Madani pula konsisten menekankan aspek integriti serta komitmen untuk membanteras rasuah secara menyeluruh dalam pentadbiran.
“Kita perlu sedar bahawa isu rasuah dan sebarang salah laku tidak beretika dalam pentadbiran sememangnya tidak membawa sebarang faedah, malah akhirnya hanya akan menyusahkan kehidupan rakyat marhaen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Noor Fareen, lambakan kes rasuah yang dilaporkan dari semasa ke semasa bukan sahaja boleh mencalarkan imej pentadbiran, malah berpotensi menggugat kestabilan ekonomi serta kemakmuran rakyat dan negara.
Daka pada itu, Noor Fareen menambah usaha pembaharuan struktur yang digerakkan Anwar pula dilihat berpaksikan agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan tiada golongan terpinggir.
Katanya, pendekatan dasar yang inklusif memberi pilihan kepada rakyat untuk menilai kerajaan berdasarkan hasil kerja serta kemampuan menyediakan kestabilan dalam tempoh panjang, bukan semata-mata berdasarkan percaturan politik menjelang pilihan raya.
“Oleh yang demikian, berbekalkan kesedaran politik yang semakin matang, rakyat kini lebih cakna dan bijak dalam menilai antara hak dengan batil.
“Rakyat pastinya bakal membuat pilihan yang terbaik pada PRU16 nanti demi menjamin kemakmuran bersama dan masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya.
Namun, jika BN dan PN benar-benar mahu membentuk satu blok menghadapi Anwar, persoalan poster boy itu mungkin menjadi antara ujian terbesar mereka bukan sahaja siapa paling popular, tetapi siapa yang mampu meyakinkan rakyat bahawa beliau layak memimpin negara.
BACA JUGA BN dapat saja jadi kerajaan Negeri Sembilan, ustaz pro-PH antara 12 yang ditarik tauliah