Rakyat, pemimpin politik mahu penjelasan terperinci, siapa paksa MB tandatangan surat turunkan Tuanku Muhriz?
Kemelut membabitkan cubaan menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus mengundang desakan agar Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menjelaskan siapa yang didakwa memaksanya menandatangani Surat Cara Proklamasi berkenaan.
Desakan itu bukan sahaja disuarakan pemimpin politik, malah turut menjadi perbincangan pengguna media sosial yang mempersoalkan bagaimana tindakan sepenting itu boleh berlaku secara paksaan tanpa penjelasan terperinci kepada rakyat.
Ismail sebelum ini mengesahkan beliau menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos lalu, sehari selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tandatangan tersebut diberikan tanpa kerelaan dan secara paksaan atau duress, sebelum membuat laporan polis pada 8 September bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menerusi hantaran Facebook menyifatkan perkembangan itu sebagai terlalu serius untuk dipandang ringan oleh mana-mana rakyat Malaysia.
“Siapa yang memaksa Menteri Besar untuk menandatangani dokumen menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?” soalnya.
Syahredzan turut menggesa Ismail mendedahkan perkara sebenar dan meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan kerana isu itu sudah melangkaui sempadan Negeri Sembilan.
Menurutnya, perkembangan tersebut menyentuh soal kelangsungan dan keselamatan institusi negara serta kedudukan Raja-Raja Melayu, bukan sekadar pertikaian politik atau adat di peringkat negeri.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar pula berkata rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui pihak yang didakwa memaksa Menteri Besar menandatangani proklamasi berkenaan.
Mahfuz menghormati penjelasan Ismail dan menyerahkan dakwaan paksaan itu kepada siasatan pihak berkuasa, namun menegaskan persoalan rakyat masih belum terjawab.
Beliau mempersoalkan bagaimana Ismail boleh mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos tetapi menandatangani dokumen berkaitan penurunan baginda pada keesokan harinya.
Garis masa itu menjadi lebih menghairankan apabila laporan polis mengenai dakwaan paksaan hanya dibuat pada 8 September, manakala penjelasan kepada media diberikan pada 9 September.
Mahfuz menegaskan dokumen tersebut bukan surat biasa kerana kandungannya menyentuh institusi Raja dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Sekiranya benar wujud unsur paksaan, katanya, identiti pihak yang memaksa, bentuk tekanan yang dikenakan serta sebab Ismail tetap memberikan tandatangan perlu dijelaskan secara terbuka.
“Kalau MB cuma pena, rakyat berhak tahu siapa yang memegang tangannya?” soal Mahfuz secara sinis.
Perbincangan pengguna Reddit turut memperlihatkan persoalan hampir sama apabila seorang pengguna bertanya, “How do they force you?” atau bagaimana Menteri Besar boleh dipaksa menandatangani dokumen tersebut.
Seorang pengguna lain pula mempersoalkan percanggahan antara tindakan Ismail mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz dengan tindakannya menandatangani dokumen yang dikaitkan dengan usaha menurunkan baginda.
Walaupun reaksi tersebut tidak mewakili keseluruhan rakyat Negeri Sembilan, ia menunjukkan penjelasan bahawa tandatangan diberikan secara paksaan masih belum menutup persoalan yang timbul dalam ruang awam.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut bertanya “siapa yang paksa?” serta berpandangan peguam yang berada ketika proses penandatanganan perlu mengesahkan keadaan sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah menegaskan proklamasi tersebut tidak sah kerana pengisytiharan asal pada 19 April sudah diputuskan tidak mempunyai kesan undang-undang oleh Dewan Keadilan dan Undang.
Pakar undang-undang sebelum ini turut menegaskan bahawa penurunan seorang Yang di-Pertuan Besar tidak boleh dilakukan melalui pengisytiharan semata-mata, sebaliknya memerlukan siasatan lengkap dan pematuhan ketat terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Justeru, rakyat kini menunggu hasil siasatan polis bagi mengenal pasti pihak yang didakwa melakukan paksaan, individu yang hadir ketika dokumen ditandatangani dan keadaan sebenar yang menyebabkan Menteri Besar memberikan tandatangannya.
Sehingga proses yang sah memutuskan sebaliknya, Tuanku Muhriz kekal diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, manakala rakyat berhak memperoleh penjelasan lengkap tanpa spekulasi atau usaha mempolitikkan institusi diraja dan adat.
BACA JUGA Nak jatuhkan Anwar, tetapi siapa nak ganti, soal penganalisis