Rosmah disambut meriah di PAU, Umno dikecam sakan rai individu disabitkan rasuah
Kemunculan Datin Seri Rosmah Mansor pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini mengundang kritikan orang ramai di media sosial.
Menerusi video tular, Rosmah yang kelihatan ceria berbaju kurung merah itu dilihat berjalan di atas permaidani merah sambil bersalaman dengan sekumpulan perwakilan Umno.
Rata-rata pengguna Threads mempersoalkan sambutan istimewa dan layanan meriah diberikan Umno terhadap individu yang telah disabitkan atas kesalahan rasuah itu.
Reaksi itu tercetus menerusi satu hantaran pengguna Threads, thewawatyothman, yang mempersoalkan bagaimana seseorang yang sudah didapati bersalah dalam kes rasuah masih boleh dirai dan diberi sanjungan.
“Pelik… macam mana seseorang yang dah didapati bersalah dalam kes rasuah masih boleh diagung-agungkan?” tempelaknya.

Beliau turut menyifatkan ketaksuban terhadap seseorang individu boleh menyebabkan fakta yang berada di depan mata diketepikan.
Menurutnya, persoalan lebih besar bukan sekadar mengenai individu terbabit, tetapi sikap mereka yang sanggup meletakkan seseorang tokoh lebih tinggi daripada kepentingan negara.
Pandangan itu kemudian meraih sokongan orang ramai yang turut membangkitkan persoalan mengenai budaya politik dan integriti dalam Umno.
Layanan istimewa
Antaranya, pengguna Threads, ashrafhashim02, yang menyifatkan keadaan itu sebagai petanda masalah lebih besar dalam parti apabila individu yang mempunyai rekod sabitan rasuah masih menerima layanan istimewa.
Bagi moriya_tanakada pula, semangat penyatuan Melayu tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan untuk mempertahankan perkara yang salah.
Menurutnya, penyokong parti juga perlu berani bersuara sekiranya terdapat tindakan kepimpinan yang bercanggah dengan prinsip integriti.
Sementara itu, faizaharshad2224 turut mengaitkan perkara itu dengan persoalan tatakelola dan imej Umno di mata masyarakat.
“Satu dewan Umno ni merestui apa yang dilakukan oleh bekas PM mereka. Tak dapat nak fikir mentaliti ahli-ahli Umno ni.
“Parti Melayu katanya tapi parti inilah yang paling banyk kes sakau dan tata kelola yang buruk!” tempelaknya.
Untuk rekod, Rosmah, 75, disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah luar bandar di Sarawak.
Isteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan kemudian dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Bagaimanapun, bekas Penaung Permata Negara itu masih bebas dengan jaminan sementara rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu belum diputuskan.
Perkembangan terbaharu menyaksikan Mahkamah Rayuan membenarkan Rosmah mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya, manakala pihak pendakwaan pula mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Tinggi menetapkan 17 September depan untuk mengambil keterangan tambahan selagi tiada perintah penangguhan diberikan.
BACA JUGA Sheikh Umar tanya Asyraf Wajdi siapa serang Umno? Siapa salahguna kuasa?