Jangan heret rakyat demi imej Umno, gesaan PRU16 awal dipersoal ketika kes rasuah sedang dibongkar

Gesaan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disegerakan dipersoalkan ketika kerajaan MADANI sedang memberi tumpuan kepada usaha membongkar serta mengambil tindakan terhadap salah laku rasuah dan kelemahan tadbir urus yang dikaitkan dengan pentadbiran terdahulu.

Ketua Cabang Keadilan Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, tiada keperluan mendesak untuk PRU16 diadakan lebih awal kerana keutamaan kerajaan ketika ini seharusnya tertumpu kepada pemulihan institusi dan pembersihan kepincangan yang diwarisi.

Beliau berkata, gesaan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya pilihan raya disegerakan menimbulkan persoalan sama ada parti itu mula takut kepada bayang-bayang sendiri apabila beberapa isu melibatkan institusi kerajaan kini kembali mendapat perhatian melalui proses siasatan, semakan dan tindakan undang-undang.

Menurutnya, antara perkara yang sedang menjadi perhatian termasuk isu berkaitan Tabung Haji dan Felda yang perlu diteliti secara menyeluruh demi memastikan sebarang salah laku atau kelemahan tadbir urus tidak dibiarkan tanpa pertanggungjawaban.

“Adakah Zahid khuatir lebih ramai pemimpin Umno akan terpalit dengan pelbagai salah laku rasuah dan urus tadbir dalam pemerintahan terdahulu sehingga beliau terpaksa mencari helah kononnya rakyat yang mahukan PRU disegerakan?” tegasnya menerusi kenyataan.

Memerangi rasuah

Syed Badli menegaskan rakyat tidak wajar dijadikan alasan untuk mempercepatkan pilihan raya semata-mata bagi melindungi kepentingan atau imej mana-mana parti politik.

“Jangan heret rakyat dalam usaha menyelamatkan imej Umno daripada calar-balar yang berlaku,” katanya.

Menurut beliau, apa yang lebih penting kepada rakyat ketika ini ialah melihat kerajaan bertindak tegas memerangi rasuah, membetulkan salah urus pentadbiran dan memperkukuh semula tatakelola institusi negara.

Beliau berkata, Umno sebagai salah satu komponen Kerajaan Perpaduan sepatutnya menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperbaiki kelemahan institusi serta memastikan sebarang kepincangan terdahulu ditangani secara telus.

Tegasnya, Umno tidak harus bertindak mencari helah untuk menyembunyikan salah laku dengan gesaan untuk menyegerakan pilihanraya.

“Justeru itu, saya ingin mengajak Umno untuk kembali memghormati perjanjian penubuhan kerajaan perpaduan dan bersama mempertahankan Kerajaan sehingga hujung penggal dengan mengekalkan imej bersih anti rasuah dan tatakelola yang baik,” kata Syed Badli lagi.

BACA JUGA Ketika dikecam kata ‘bukan kerajaan kami’, bila menang dua PRN, kuku dan taring terserlah