Ketika dikecam kata ‘bukan kerajaan kami’, bila menang dua PRN, kuku dan taring terserlah
Pemerhati politik, Liyana Marzuki menyindir perubahan nada Umno yang semakin jelas mahu kembali menguasai Putrajaya selepas parti itu memperoleh kemenangan dalam dua pilihan raya negeri kebelakangan ini.
Dalam satu tulisan, Liyana mengimbas kembali perjalanan politik Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejak era akhir 1990-an ketika beliau pernah menjadi antara tokoh Pemuda Umno yang lantang membangkitkan isu kronisme dan nepotisme.
Menurutnya, Zahid yang digelarnya ‘murid’ ketika itu dilihat rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, Zahid memilih untuk kekal bersama Umno selepas Anwar disingkirkan dari parti sebelum meneruskan perjalanan politik sehingga akhirnya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Liyana menyifatkan keupayaan Zahid bertahan dalam politik sebagai luar biasa, khususnya selepas mengambil alih kepimpinan Umno ketika parti itu berada pada titik paling lemah selepas kehilangan kerajaan Persekutuan buat pertama kali pada 2018.
Katanya, walaupun Umno tewas dan tidak lagi menjadi parti dominan seperti sebelum ini, parti berkenaan tetap berjaya berada dalam kerajaan menerusi pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan kemudiannya Kerajaan Perpaduan.
Namun, Liyana berpendapat sepanjang tempoh tersebut Umno bijak mengambil kedudukan yang membolehkan parti itu menikmati manfaat berada dalam kerajaan tanpa menanggung sepenuhnya kemarahan rakyat apabila pentadbiran berdepan kritikan.
“Umno menumpang bayang parti lain. Mereka benarkan orang lain jadi Perdana Menteri. Bila rakyat marahkan kerajaan kerana bendera putih atau tak kota janji reformasi, partinya tak kena tempias,” tegasnya.
Dapat kredit
Dalam masa sama, penulis buku ‘Jangan Pajak Otak’ berkenaan berkata, apabila kerajaan dipuji, Umno turut mendapat kredit.
Namun, hujahnya, apabila kerajaan dikecam, wujud pula suara yang cuba menjarakkan Umno daripada pentadbiran dengan naratif seolah-olah “ini bukan kerajaan kami”.
“Mereka ambil kredit ketika kerajaan dipuji, tetapi bila dikecam, mereka cuci tangan dan cuci kaki,” katanya.
Malah, ujarnya, sebahagian penyokong dan propagandis Umno pada masa sama menyerang kerajaan sendiri bersama pembangkang, sedangkan pemimpin parti terus memegang jawatan penting dalam pentadbiran.
Liyana berpandangan strategi itu selama ini memberi keuntungan politik kepada Umno kerana parti berkenaan dapat membina semula keyakinan penyokong secara perlahan-lahan tanpa terlalu terpalit dengan kelemahan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, kemenangan dalam dua pilihan raya negeri terbaru dilihat mula mengubah keadaan apabila Umno semakin terbuka menunjukkan cita-cita untuk kembali menjadi kuasa dominan di peringkat Persekutuan.
“Ya, selama hampir dua penggal ini, strategi parti Si Murid berjalan dengan baik. Mereka diam dan buat kerja.
“Orang pun rasa nanti akan tiba masa, kita akan bagi peluang semula.
“Tapi apakan daya, menang dua pilihan raya negeri, kuku dan taring terserlah kembali. Mereka dah yakin boleh memerintah negara dan kebanyakan negeri,” kata Liyana lagi.