Zahid persoal nama Kerajaan Madani: Umno diminta cermin diri, rakyat mahu prestasi bukan politik macam budak

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditegur supaya tidak membesar-besarkan persoalan mengenai penggunaan nama Kerajaan Madani sehingga mengalihkan perhatian daripada amanah sebenar kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Zahid mempersoalkan bagaimana Kerajaan Perpaduan bertukar menjadi Kerajaan Madani memberi gambaran seolah-olah soal nama lebih penting berbanding prestasi pentadbiran.

Menurutnya, politik negara tidak sepatutnya dilayan seperti “budak-budak berebut nama kumpulan permainan”, terutama ketika rakyat mahu kerajaan memberi tumpuan kepada ekonomi, kos sara hidup, pekerjaan dan tatakelola.

“Kalau benar mahu politik matang, janganlah politik negara dilayan seperti budak-budak berebut nama kumpulan permainan.

“Hari ini berkawan, esok merajuk. Hari ini bersetuju dalam mesyuarat, esok mempertikaikan semula persefahaman,” katanya dalam kenyataan media.

Khianat-mengkhianati

Semalam, Zahid dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Umno 2026 mempersoalkan bagaimana nama Kerajaan Perpaduan yang disepakati dalam perjanjian ditukar menjadi Kerajaan Madani.

“Jangan ada khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang, tetapi menjatuhkan rakan pada waktu malam.

“Jangan ada perjanjian ditandatangani, dalam masa sama ia dimungkiri. Kerajaan Perpaduan yang disepakati itu ada dalam perjanjian, entah bagaimana Kerajaan Perpaduan Nasional ditukar menjadi Kerajaan Madani.

“Jika kerbau diikat pada talinya, manusia mesti diikat dengan janjinya. Dalam mesyuarat setuju, keluar mesyuarat buat lain.

“Janganlah menanam tebu di hujung bibir. Insya-Allah, Umno, BN dan rakan baharu kita berazam untuk tidak melakukan perkara seperti itu,” kata Zahid.

Melihat cermin

Mengulas lanjut, Mahfuz menyambut baik peringatan Zahid bahawa janji dalam sesuatu persefahaman mesti dihormati dan tidak sepatutnya berlaku tindakan bermuka dua atau khianat sesama rakan.

Bagaimanapun, katanya, prinsip sama perlu digunakan terhadap semua pihak termasuk Umno sendiri, sambil mengingatkan parti itu supaya berani “melihat cermin sendiri” sebelum menuding kepada pihak lain.

Beliau berkata, kerjasama dalam Kerajaan Madani juga tidak bermaksud parti-parti yang membentuk kerajaan perlu mengorbankan identiti masing-masing kerana Umno kekal sebagai Umno, AMANAH kekal sebagai AMANAH dan begitu juga parti lain.

Namun, apabila berada dalam satu pentadbiran, kata Mahfuz, kepentingan rakyat sepatutnya mengatasi kepentingan parti.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pemimpin tidak boleh bersikap seperti “budak kalah bermain bola” yang hanya menerima keadaan apabila keputusan memihak kepadanya.

“Apabila menang, katanya padang elok. Apabila kalah, salah pengadil. Apabila keputusan tidak mengikut kehendak, salah peraturan.

“Itulah politik yang rakyat sudah semakin muak,” katanya.

Selamat didiami

Mahfuz menegaskan, rakyat pada hari ini tidak terlalu peduli sama ada pentadbiran di Putrajaya disebut Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani atau dengan apa juga nama, selagi kerajaan mampu menunjukkan hasil kepada mereka.

Katanya, rakyat lebih mahu mengetahui sama ada kos sara hidup dapat dikawal, bantuan mampu meringankan beban, ekonomi berkembang, peluang pekerjaan bertambah, rasuah diperangi, institusi negara diperkukuh dan kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Beliau mengibaratkan pertikaian mengenai nama kerajaan seperti sebuah rumah yang dicat semula, sedangkan perkara lebih penting ialah memastikan rumah itu kukuh, tidak bocor dan selamat untuk didiami.

“Nama boleh berubah. Pendekatan boleh diperbaharui. Tetapi amanah kepada rakyat tidak boleh berubah,” katanya.

Justeru, Mahfuz menyifatkan pertikaian Zahid berhubung perubahan istilah daripada Kerajaan Perpaduan kepada Kerajaan Madani sebagai perkara yang tidak wajar dibesar-besarkan.

“Orang dewasa bercakap tentang masa depan negara. Budak-budak bergaduh tentang nama permainan. Jangan bawa politik seperti itu ke Putrajaya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Umno supaya tidak merajuk hanya kerana sesuatu keputusan politik tidak mengikut kehendaknya, sebaliknya bersama-sama membuktikan siapa yang mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Jangan menangis kerana nama kerajaan berubah. Jangan merajuk kerana permainan politik tidak mengikut kehendak sendiri.

“Malaysia bukan milik Umno, bukan milik mana-mana parti. Malaysia milik rakyat,” kata Mahfuz lagi.

BACA JUGA Rosmah disambut meriah di PAU, Umno dikecam sakan rai individu disabitkan rasuah