Lima mangsa nahas helikopter FDS akhirnya dibawa pulang, ini lokasi persemadian mereka
Selepas proses forensik dan pengesahan identiti selesai, lima mangsa nahas helikopter Flying Doctor Service (FDS) di Long Lelang, Sarawak akan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dibawa pulang dan dikebumikan di beberapa lokasi di Sarawak, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata urusan penyerahan jenazah akan dilaksanakan pada pagi hari ini, 13 September, susulan pengesahan rasmi identiti melalui analisis DNA oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.
Kelima-lima mangsa terdiri daripada dua pegawai perubatan, dua jururawat dan seorang juruterbang yang terkorban ketika menjalankan tugas perkhidmatan kesihatan udara di kawasan pedalaman.
Menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, jenazah Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, seorang pegawai perubatan, akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Jenazah jururawat mendiang Debra anak Moset pula akan diterbangkan dari Miri ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada Isnin, 14 September.
Bagi mendiang Alexon Adit anak Henry, seorang penolong pegawai perubatan, jenazah akan dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini, manakala urusan pengebumian dijadualkan pada Selasa, 15 September di Anglican Cemetery Lambir, Miri.
Sementara itu, jenazah jururawat mendiang Jessie Paya Jok akan dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini sebelum dikebumikan pada Isnin di BEM Cemetery Lambir, Miri.
Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Alif bin Bee Sham, juruterbang, pula akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan penerbangan Malaysia Airlines sebelum dibawa ke Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian.
Dalam kenyataan itu, KKM turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya TUDM, yang menyediakan kemudahan logistik bagi melancarkan urusan penghantaran pulang jenazah ke Semenanjung Malaysia.
Penghargaan turut diberikan kepada PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), pengurusan Hospital Miri serta semua agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat sehingga ke peringkat pengurusan jenazah.
Pada masa sama, KKM berkata pihaknya mengambil langkah untuk memastikan akses kesihatan kepada penduduk pedalaman tidak terjejas dengan memperkukuh kerjasama strategik bersama JBPM bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC), susulan cadangan penangguhan sementara perkhidmatan FDS bagi tujuan siasatan, semakan dan penilaian menyeluruh.
“Keprihatinan, kiriman doa yang tidak putus-putus, serta kasih sayang yang dizahirkan oleh rakyat kepada petugas kesihatan kita memberikan suntikan kekuatan yang amat bermakna buat ahli keluarga dan rakan-rakan seperjuangan di KKM dalam mendepani saat yang amat mencabar ini,” kata Dzulkefly.
BACA JUGA RM1 sehari sahaja sewa, Hannah Yeoh mahu peluang berniaga sampai kepada golongan miskin bandar