“Perdana Menteri datang dan pergi tetapi negara mesti diselamatkan”
“Perdana Menteri datang dan pergi tetapi negara mesti diselamatkan.”
Ungkapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menjadi antara petikan yang menarik perhatian netizen selepas beliau tampil dalam podcast SembangOhhYeahh.
Penampilan sulung PMX dalam podcast dengan penegasan itu ketika beliau mengulas mengenai usaha memerangi rasuah, menegakkan negara hukum dan memastikan kepentingan negara mengatasi kedudukan seseorang pemimpin.

Anwar berkata, beliau sedar jawatan Perdana Menteri bukan sesuatu yang kekal, namun apa yang lebih penting ialah memastikan negara tidak kembali kepada perkauman, rasuah dan penyelewengan.
“Perdana Menteri datang dan pergi. Saya insaf tentang itu tetapi negara mesti diselamatkan.
“Jangan izinkan kita balik dengan sikap benci kepada kaum dan lebih mudah menerima rasuah dan penyelewengan.
“Negara ini ada kekuatan. Jangan rosakkan. Itulah harapan saya,” tegas Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika perbincangan menyentuh pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat bulan lalu.
Tidak takut
Mengulas gesaan supaya siasatan tidak hanya tertumpu kepada tempoh sehingga 2020, Anwar berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya penelitian diteruskan kepada tahun-tahun berikutnya, termasuk tempoh pentadbirannya.

“Jangan berhenti setakat 2020. Tanya juga apa yang berlaku pada tahun 2021, 2022, 2023, 2024 semasa saya menjadi Perdana Menteri.
“Saya kata, silakan. Kita kalau tak curi wang, kita tak takut. Siasatlah banyak mana pun,” tegasnya.
Perdana Menteri turut menolak pandangan bahawa pembentangan laporan berkenaan tidak sepatutnya dilakukan kerana waktunya hampir dengan beberapa pilihan raya.
Menurutnya, jika pertimbangan pilihan raya dijadikan alasan, pembentangan sesuatu perkara berkepentingan awam boleh terus tertangguh kerana negara sentiasa berdepan kitaran pilihan raya negeri dan pilihan raya umum.
“Selepas (pilihan raya negeri) Negeri Sembilan, Melaka, kemudian Sarawak. Selepas itu kita kena bersiap pilihan raya umum. Jadi, jangan bentang?
“Tak boleh. Harus ada keputusan. Orang yang tak salah tidak akan disabitkan,” katanya.
Harga dizalimi
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada masa sama menegaskan bahawa sesuatu kes akhirnya perlu diputuskan berdasarkan fakta dan proses kehakiman, bukannya tuduhan yang berlegar di media sosial.
“Bila pergi ke mahkamah, keputusan hakim itu diputuskan berdasarkan fakta bukannya seperti tuduhan di media sosial,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak mahu usaha membanteras penyelewengan bertukar menjadi tindakan menzalimi mana-mana individu.
Ahli Parlimen Tambun berkenaan mengaitkan pendirian itu dengan pengalaman peribadinya berdepan pemenjaraan dan berkata prinsip keadilan perlu terpakai kepada semua lapisan masyarakat.
“Saya tidak mahu terlibat dalam apa-apa langkah yang menzalimi orang lain kerana saya tahu harga dizalimi, puluhan tahun meringkuk di penjara.
“Saya tidak mahu itu berlaku kepada sesiapa, bukan sahaja orang besar, malah rakyat yang paling miskin sekalipun.
“Itu baru betul negara hukum,” kata Presiden PKR berkenaan.

Dalam podcast sama, Anwar mengakui pentadbirannya tidak terlepas daripada teguran dan masih mempunyai kekurangan yang boleh diperbaiki.
Beliau berkata keterbukaan itu turut diterjemahkan melalui kesediaannya berdialog dengan golongan mahasiswa di universiti.
“Saya banyak ditegur. Saya Perdana Menteri paling banyak turun ke universiti berdialog dengan pelajar.
“Saya boleh perbaiki kekurangan tetapi saya ingin merayu jangan izinkan negara ini dihampakan oleh gerombolan yang mempunyai kepentingan yang akan merosakkan kekuatan sendi kita,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Anwar pulang dari Maldives dengan agenda besar, Petronas bakal teroka kerjasama tenaga