“Kalau dah tak iktiraf Tuanku Muhriz, letak jawatan!” – Loke cabar Exco Negeri Sembilan
Kemelut kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kini memasuki fasa baharu apabila Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, mencabar anggota Exco negeri yang tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya meletakkan jawatan.
Loke berkata gesaan itu dibuat atas prinsip dan maruah kerana anggota Exco berkenaan baru sahaja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada awal Ogos lalu, selepas pembentukan kerajaan negeri pasca PRN Negeri Sembilan.
Ahli Parlimen Seremban itu turut mempersoalkan punca kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mengiktiraf proklamasi bertarikh 19 April yang mendakwa menurunkan Tuanku Muhriz serta mengiktiraf pengganti berkuat kuasa serta-merta.
“Sekiranya mereka kini tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, maka atas prinsip dan maruah, mereka sewajarnya meletakkan jawatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke juga berkata anggota Exco terbabit sepatutnya memahami terlebih dahulu peruntukan undang-undang serta punca kuasa jawatan mereka sebelum membuat keputusan menyentuh kedudukan pemerintah negeri.
Menurutnya, DAP kekal berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, selain menegaskan keluhuran undang-undang serta institusi diraja perlu dipertahankan.
Gesaan itu dibuat sehari selepas kerajaan Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah, selain mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu. Kerajaan negeri berkata keputusan itu dibuat secara kolektif oleh Exco dalam mesyuarat pada 15 September lalu.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, hari ini mengesahkan keputusan itu dibuat secara sebulat suara dan berkata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, telah diminta meneruskan proses pewartaan proklamasi berkenaan mengikut peraturan sedia ada.
Namun, pendirian kerajaan negeri itu bercanggah dengan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), yang menegaskan keputusan Exco tidak mempunyai kesan undang-undang terhadap kedudukan Yang Dipertuan Besar.
Menurut DKU, perkara berkaitan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar berada dalam bidang kuasanya berdasarkan Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
DKU juga menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, manakala pertikaian mengenai kesahan proklamasi berkenaan masih menjadi isu perundangan yang diperdebatkan.
Kini persoalannya bukan lagi sekadar siapa mengiktiraf siapa tetapi dari mana datangnya kuasa Exco untuk menentukan kedudukan Yang Dipertuan Besar, ketika DKU pula menegaskan bidang kuasa itu terletak pada mereka.
BACA JUGA Laung ‘Daulat Tuanku’, tapi sokong penurunan takhta? Kenyataan Pemuda Umno cetus kecaman