Anwar tegur MB Negeri Sembilan: Jangan ‘berbolak-balik’ dalam isu Tuanku Muhriz
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim supaya mengambil pendirian yang lebih tegas dan konsisten dalam kemelut membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menggesa isu berkenaan perlu ditangani dalam kerangka Raja Berperlembagaan, selain mematuhi sepenuhnya Perlembagaan, undang-undang serta adat yang terpakai di Negeri Sembilan.
“Saya harap Kerajaan Negeri, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim lebih tuntas pendirian, tidak berbolak-balik, dan tidak tunduk kepada tekanan-tekanan politik kerana ini soal raja berperlembagaan,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya, hari ini.
Teguran itu hadir ketika pendirian kerajaan negeri mengenai Proklamasi 19 April 2026 berhubung kedudukan Tuanku Muhriz mengalami beberapa perkembangan sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, Ismail menegaskan Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar, sambil berkata perkara berkenaan perlu dinilai berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Namun, pada 16 September, barisan Exco kerajaan negeri pula mengumumkan bahawa mereka menganggap proklamasi 19 April sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Sehari kemudian, Ismail dilaporkan mengesahkan kerajaan negeri akan meneruskan proses pewartaan perubahan kedudukan berkenaan.
Bagaimanapun, perkembangan itu berubah apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan bahawa proklamasi 19 April tidak sah kerana tidak memenuhi keperluan mandatori Perkara 10 UUTKNS. AGC turut menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Susulan nasihat itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan kemudian menyatakan kerajaan negeri tidak akan mewartakan atau melaksanakan proklamasi 19 April berkenaan dan perkara itu dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri.
Anwar berkata isu menurunkan atau memakzulkan seorang raja bukan perkara kecil kerana sistem pemerintahan negara berdiri atas prinsip Perlembagaan dan institusi beraja.
“Ini soal memakzulkan ataupun menurunkan raja bukan perkara yang kecil. Kita dalam negara tertegak dengan prinsip Perlembagaan, menjunjung sistem beraja,”katanya.
Menurutnya, beliau tidak menolak undang-undang dan adat khusus yang terpakai di Negeri Sembilan, termasuk sistem Yang di-Pertuan Besar serta peranan Undang Yang Empat.
Sebaliknya, katanya, setiap pihak perlu memastikan proses dan kaedah yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya, tanpa mengira sama ada ia membabitkan institusi raja atau Undang.
“Kalau ada apa-apa usul daripada Undang dan sebagainya, ikut proses, peraturan sepenuhnya. Peraturan itu tidak terpakai hanya kepada raja, dan juga kepada Undang. Ikut proses, dan kita tidak campur selain daripada itu,” katanya.
Anwar pada masa sama menegaskan perkara paling utama ketika ini ialah memastikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak tergugat oleh tindakan yang tidak mengikut proses perlembagaan.
Kemelut itu kini memasuki fasa baharu selepas AGC memberikan pandangan mengenai kesahan proklamasi berkenaan, manakala DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.
BACA JUGA Najib dapat tahanan rumah, Anwar beri mesej jelas: Kes rasuah tetap jalan