Najib dapat tahanan rumah, Anwar beri mesej jelas: Kes rasuah tetap jalan

Keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di rumah tidak bermakna kerajaan mengubah pendirian dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, prinsip negara hukum yang menjadi pegangan kerajaan kekal dan semua kes rasuah atau salah guna kuasa yang masih melalui proses perundangan perlu diteruskan mengikut landasan undang-undang.

Penegasan itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib pada hari ini, membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat yang ditetapkan.

Anwar berkata keputusan pengampunan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kerajaan tunduk kepada amalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

“Prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat. Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Menurut Anwar, Perlembagaan menetapkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan dan beliau berharap keputusan berkenaan diterima dengan baik.

“Tapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan kes membabitkan Najib yang masih melalui proses perundangan perlu diteruskan, sama seperti kes rasuah lain tanpa mengira siapa individu yang terlibat.

Perkembangan itu penting kerana Najib bukan sahaja menjalani hukuman bagi kes SRC International, malah turut mempunyai kes 1MDB yang melalui proses rayuan. 

Najib pada Disember 2025 dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB. Rayuan terhadap keputusan itu difailkan pada 29 Disember 2025.

Bagi kes SRC International pula, Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan pada Januari 2024.

Dengan keputusan terbaharu itu, Najib kini dibenarkan menjalani baki hukuman SRC International di bawah tahanan rumah, tetapi pengampunan tersebut bersifat bersyarat. 

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pengampunan itu terbatal dan Najib perlu kembali menjalani baki hukuman di penjara.

BACA JUGA Umno lancar tabung bantu bayar denda RM50 juta Najib