Penceramah bebas persoal budaya kroni jawatan di Kelantan
Budaya memberikan jawatan berdasarkan hubungan keluarga, persahabatan atau pengaruh politik perlu dihentikan jika Kelantan mahu memastikan prinsip integriti dan merit benar-benar diamalkan dalam pentadbiran, kata penceramah bebas, Ustaz Khairul Ikhwan.
Beliau berkata, seseorang yang mempunyai kelayakan sewajarnya diberi keutamaan berbanding individu yang mendapat peluang hanya kerana mempunyai hubungan dengan orang berpengaruh.
“Kalau orang yang betul-betul layak memegang jawatan tidak mendapat jawatan, sedangkan orang yang tidak layak pula diberikan jawatan, itu tidak betul.
“Jawatan mesti diberikan kepada orang yang layak. Bukan kerana kroni, bukan kerana hubungan dengan orang tertentu dan bukan kerana apa-apa kepentingan,” katanya dalam satu klip ceramah di media sosial.
Menurut Khairul Ikhwan, perkara itu menjadi lebih serius sekiranya kuasa yang diberikan kepada wakil rakyat digunakan untuk memberikan jawatan kepada rakan atau anggota keluarga tanpa proses pemilihan yang telus.
“Kalau kita wakil rakyat, jangan kerana kita menjadi wakil rakyat, kita gunakan kedudukan itu untuk memberikan jawatan kepada kawan-kawan, keluarga atau orang yang rapat dengan kita.
“Kalau ada tempat dan jawatan, berikan kepada orang yang layak. Kalau kawan kita tidak layak, jangan kerana dia kawan kita, kita berikan juga kepadanya,” katanya.
Beliau turut memberi contoh dakwaan mengenai seseorang yang diberikan jawatan pegawai multimedia walaupun dikatakan tidak mempunyai kelayakan dalam bidang berkenaan.
“Contohnya ada orang diberikan jawatan pegawai multimedia, tetapi tidak ada ijazah dalam multimedia. Persoalannya, bagaimana dia boleh masuk?
“Kalau dia boleh masuk kerana dia kawan anak wakil, kawannya sepupu, kawannya anak sepupu, apa yang betul dalam perkara itu?” katanya.
Isu ‘anak-beranak’ kembali jadi perhatian
Kenyataan itu hadir ketika isu amalan “anak-beranak” dan salah guna kuasa turut menjadi bahan perbahasan di Kelantan, termasuk persoalan mengenai kedudukan anggota keluarga pemimpin dalam institusi berkaitan kerajaan negeri.
Perkara itu turut mengaitkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, yang sebelum ini dilaporkan memberi penegasan bahawa pelantikan ahli keluarga bukan kesalahan sekiranya dibuat berdasarkan kelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan.
Mohamed Fadzli juga dilaporkan berkata sekiranya seseorang tidak memenuhi syarat tetapi tetap dilantik, perkara itu boleh disiasat.
Dalam konteks itu, persoalan mengenai Mursyidah Amani Mohd Fadzli turut dibangkitkan di media sosial berikutan namanya disenaraikan sebagai tenaga akademik di Pusat Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Bagaimanapun, kewujudan hubungan kekeluargaan itu tidak dengan sendirinya membuktikan berlaku kronisme atau salah guna kuasa.
Setakat maklumat yang dapat disahkan, belum ada bukti yang menunjukkan Mohamed Fadzli campur tangan dalam proses pengambilan berkenaan atau bahawa pelantikan itu dibuat dengan mengetepikan prosedur KIAS.
Justeru, persoalan yang lebih substantif ialah bagaimana proses pengambilan tersebut dijalankan apakah kelayakan ditetapkan, sama ada jawatan diiklankan secara terbuka, siapa yang membuat penilaian dan sama ada terdapat sebarang penglibatan pihak berkepentingan dalam proses tersebut.
Persoalan itu menjadi lebih relevan kerana Mohamed Fadzli sendiri memegang portfolio berkaitan Pentadbiran Awam dan Integriti dalam kerajaan negeri.
Pada masa sama, rekod rasmi KIAS turut menunjukkan Mohamed Fadzli mempunyai penglibatan rasmi dalam aktiviti institusi berkenaan, termasuk menghadiri Istiadat Konvokesyen KIAS 2025 dalam kapasiti Timbalan Menteri Besar.
Maka, jika proses pengambilan tersebut sememangnya dibuat berdasarkan merit, kelayakan dan prosedur yang ditetapkan, penjelasan terbuka daripada pihak KIAS mengenai proses berkenaan boleh membantu menjawab persoalan yang timbul.
Dalam hal ini, ukuran yang dituntut Khairul Ikhwan bukan sekadar mengenai siapa anak kepada siapa, sebaliknya sama ada setiap individu melalui proses yang sama apabila memohon sesuatu jawatan.
“Dia kena diberi kepada orang yang layak. Bukan kerana kroni, bukan kerana jawatan, bukan kerana apa-apa,” katanya.
Beliau berkata, prinsip itu perlu digunakan secara konsisten tanpa mengira sama ada individu yang mendapat jawatan mempunyai hubungan dengan pihak kerajaan, pembangkang, wakil rakyat atau mana-mana tokoh berpengaruh.
“Kita kena beri amanah kepada orang yang benar-benar layak. Barulah kita dapat integriti,” katanya.
Khairul Ikhwan turut mengingatkan bahawa kuasa politik tidak seharusnya menjadi ruang untuk seseorang pemimpin mengutamakan kelompok sendiri.
“Apabila kita meletakkan amanah tidak kena dengan tempatnya, maka tunggulah akan hancur semuanya.
“Jangan main-main dengan kuasa,” katanya.
Beliau kemudian mengaitkan soal pelantikan dan amanah dengan pertanggungjawaban agama.
“Kalau sesuatu jawatan diberikan dengan cara yang tidak berkat, dengan cara rasuah, macam mana nak berhadapan dengan Allah SWT?” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kenyataannya itu adalah peringatan umum dan bukan tuduhan terhadap mana-mana individu secara khusus.
“Itu sebagai peringatan. Jangan kata saya menuduh siapa-siapa. Saya tidak menuduh sesiapa secara khusus.
“Tetapi perkara ini kena diperhatikan kerana ia melibatkan amanah dan tanggungjawab,” katanya.
BACA JUGA Anwar tegur MB Negeri Sembilan: Jangan ‘berbolak-balik’ dalam isu Tuanku Muhriz