Proklamasi dah dikata tak sah, kenapa Tuanku Muhriz masih cuba diturunkan, soal pakar
Polemik mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kembali menjadi perhatian selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan baginda adalah tidak sah.
Pakar undang-undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal mempersoalkan bagaimana proklamasi yang kemudian dinyatakan tidak sah itu boleh diterima dan dijadikan asas tindakan terhadap Tuanku Muhriz.
“Macam mana satu proklamasi yang tidak sah boleh diterima oleh Exco dan Menteri Besar untuk menjadikannya sah dan menurunkan Tuanku?” katanya.
Pada 17 September lalu, AGC menyatakan proklamasi itu tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selain menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
AGC turut menyatakan tiada keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan di bawah Perkara 10(1) terpakai kepada Tuanku Muhriz, manakala sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi itu tidak mempunyai kesan undang-undang.
Sehari selepas pendirian AGC itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan memaklumkan kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi 19 April, selaras dengan pandangan AGC bahawa ia tidak sah.
Namun, pada 20 September, Istana Negeri Sembilan mengumumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta selepas baginda mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September.
Istana turut merujuk Perkara XXXVIII(5) UUTKNS yang memperuntukkan anggota MMKN selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar, selain mengarahkan Ismail mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan baginda.
Memetik laporan The Malaysia Press, Noor Aziah menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang serius kerana menurutnya ia bukan sekadar perselisihan politik, sebaliknya membabitkan institusi raja dan sumpah taat setia yang dilafazkan Menteri Besar serta Exco.
“Menteri Besar angkat sumpah depan Tuanku. Kemudiannya Exco angkat sumpah. Angkat sumpah bukan perkara main-main,” katanya sambil menyifatkan tindakan yang bercanggah dengan ikrar berkenaan sebagai perkara serius.
Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sebelum ini turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah serta menyatakan kerajaan negeri dan Exco tidak mempunyai bidang kuasa menentukan kesahan proklamasi atau kedudukan baginda.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim mempertikaikan pembatalan pelantikan Exco dengan berkata beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati Tuanku Muhriz berhubung pemberhentian mana-mana Exco di bawah Perkara XXXVIII(5) UUTKNS.
Ismail turut berhujah bahawa Perkara XXXVIII(5) perlu dibaca bersama Perkara XXXVIII(4) dan Perkara 40(1), yang menurutnya berkaitan prinsip kuasa atas nasihat, serta berpendirian Exco sedia ada masih sah dan boleh menjalankan tugas seperti biasa.
Pertikaian itu kini tertumpu kepada persoalan tafsiran kuasa di bawah UUTKNS, khususnya kedudukan Yang di-Pertuan Besar, bidang kuasa MMKN serta status Exco selepas pembatalan pelantikan mereka.
BACA JUGA Mahkamah tegaskan, bukan Fahmi, SKMM sekat akaun TikTok Na’im