RM100,000 untuk kelas digital, Yuneswaran mahu SK Batu Anam jadi ‘jambatan’ generasi muda
Sebuah bilik darjah di sekolah luar bandar bakal diperkasakan dengan teknologi digital menerusi peruntukan RM100,000, dengan matlamat bukan sekadar menyediakan kemudahan baharu tetapi membuka ruang pembelajaran yang lebih luas kepada murid.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj berkata, peruntukan itu diserahkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam menerusi Program Sekolah Angkat MADANI bagi membangunkan SKEBAT Digital Classroom.
Menurutnya, ruang berkenaan perlu dimanfaatkan sebagai tempat murid meneroka dunia digital, mengembangkan kreativiti selain menguasai kemahiran yang diperlukan pada masa depan.
“Saya mahu ruang ini bukan sekadar lengkap dengan teknologi, tetapi benar-benar menjadi tempat murid belajar, meneroka dunia digital, membina kreativiti dan menguasai kemahiran masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Yuneswaran berkata kemudahan itu diharap turut memberi manfaat kepada guru dan murid dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) serta sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) berhampiran.
Katanya, perkongsian ruang pembelajaran oleh murid daripada pelbagai kaum juga boleh menjadi medium untuk memupuk perpaduan sejak di bangku sekolah.
“Apabila anak-anak daripada pelbagai kaum belajar dan berkongsi ruang yang sama, pendidikan turut menjadi jambatan perpaduan,” katanya.
Beliau turut berharap Kelab Rukun Negara dapat ditubuhkan di SK Batu Anam bagi membolehkan ruang digital berkenaan digunakan untuk aktiviti yang mendekatkan prinsip Rukun Negara dengan generasi muda.
Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, JPNIN Johor serta agensi dan jabatan yang terlibat dalam menjayakan inisiatif itu.
Beliau berkata pembangunan SKEBAT Digital Classroom perlu dilihat sebagai pelaburan untuk membangunkan potensi murid di Segamat.
“RM100,000 ini bukan sekadar peruntukan, tetapi pelaburan untuk melahirkan anak Segamat yang celik teknologi, berilmu, berakhlak dan saling menghormati,” katanya.
Program berkenaan turut meletakkan penekanan terhadap penggunaan teknologi dalam pendidikan serta peluang murid mendapatkan pendedahan kepada kemahiran digital.
BACA JUGA Baru masuk PN, Pas dah tegur Wawasan jangan `over’ bergerak solo dalam PRN Melaka