Jentera kerajaan atau jentera parti? Jejak sebenar i-MiTS selepas Pas menang Terengganu

Selepas Pas mengambil alih pentadbiran Terengganu pada 2018, sebuah institusi baharu muncul dalam struktur pentadbiran negeri dengan peranan yang dikaitkan dengan pembangunan insan, dakwah dan penerangan kepada rakyat.

Namun persoalannya, di manakah sebenarnya kedudukan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dalam garis pemisah antara kerajaan dan parti?

Persoalan itu timbul apabila rekod kenyataan pemimpin Pas sendiri pada ketika itu menunjukkan i-MiTS mempunyai hubungan kerja dengan kedua-dua struktur kerajaan dan parti.

Dalam satu laporan pada Disember 2018, Pesuruhjaya Pas Terengganu ketika itu, Husain Awang, berkata i-MiTS bertanggungjawab mendidik serta membina ketahanan dan kefahaman Islam kepada “seluruh jentera kerajaan dan juga jentera parti”.

Kenyataan itu dibuat dalam program Ijtimak Kepimpinan Pas Negeri Terengganu, ketika parti berkenaan sedang berusaha mempertahankan kemenangan yang diperoleh dalam pilihan raya umum tahun sama.

Rekod rasmi kerajaan negeri dan laporan berkaitan menunjukkan i-MiTS diwujudkan pada Julai 2018, beberapa bulan selepas Pas membentuk kerajaan negeri.

Menurut laporan Terengganu Darul Iman News (TRDI), i-MiTS ketika itu mempunyai 427 kakitangan di seluruh 32 DUN dan berperanan sebagai antara barisan hadapan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat.

Yang Dipertua DUN Terengganu ketika itu, Yahaya Ali, menyifatkan i-MiTS sebagai “jentera yang menghubungkan kerajaan dan rakyat” ketika berucap dalam majlis bersama kakitangannya pada Mei 2019.

Pada masa sama, beliau mengaitkan pencapaian kerajaan negeri dengan perjuangan parti pemerintah Pas yang telah dibina sejak sekian lama.

Di sinilah persoalan mengenai identiti i-MiTS menjadi menarik.

Jika ia merupakan sebahagian daripada jentera kerajaan, sejauh mana peranannya tertakluk kepada fungsi pentadbiran awam?

Dan jika ia turut berfungsi untuk membina kefahaman dalam kalangan jentera parti, bagaimana garis antara tugas kerajaan dengan kepentingan politik parti ditentukan?

Pengambilan kakitangan melalui struktur kerajaan

Rekod pada Ogos 2018 pula menunjukkan kerajaan negeri melantik kakitangan untuk UPDI dan i-MiTS.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu ketika itu dilaporkan berkata seramai 46 kakitangan dilantik, termasuk 22 orang yang ditempatkan di i-MiTS.

Mereka dilantik melalui struktur pengurusan sumber manusia kerajaan negeri dan dalam majlis lapor diri serta ikrar perjawatan di Wisma Darul Iman.

Perkara itu memberikan satu petunjuk penting bahawa i-MiTS bukan sekadar sebuah organisasi politik yang beroperasi di luar kerajaan, sebaliknya mempunyai hubungan dengan struktur pentadbiran negeri.

Malah, laporan rasmi Majlis Daerah Marang pada 2024 menyebut program “Indahnya Hidup Bersyariat” dianjurkan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu melalui i-MiTS.

Ini menunjukkan fungsi i-MiTS terus wujud dalam ruang pentadbiran kerajaan negeri, khususnya dalam program berkaitan pembangunan insan dan pembudayaan nilai Islam.

Pada masa sama, rekod awal selepas kemenangan Pas menunjukkan aktiviti i-MiTS tidak terhad kepada program pentadbiran kerajaan.

Pada Ogos 2018, pengarah i-MiTS ketika itu, Kamaruzzaman Abdullah, yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, bercakap mengenai agenda mengisi kemenangan Pas serta pengukuhan hubungan sesama ahli parti dalam sebuah program di peringkat DUN.

Beberapa bulan kemudian, dalam satu program berkaitan perancangan pembangunan insan, dakwah dan penerangan, beliau turut menyatakan bahawa tugas tersebut “bermula dalam parti” sebelum digerakkan untuk pelaksanaan yang lebih luas.

Justeru, persoalan yang timbul bukan semata-mata siapa yang mengendalikan i-MiTS.

Sebaliknya, apakah sempadan tugasnya ketika sebuah organisasi yang berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan turut mempunyai fungsi yang menyentuh struktur dan gerak kerja parti?

Antara kerajaan, rakyat dan parti

Fungsi yang dinyatakan untuk i-MiTS juga agak luas. Pada peringkat awal pentadbiran Pas selepas kemenangan 2018, i-MiTS dilaporkan bersama UPDI merancang program dialog dengan Menteri Besar dan exco di semua lapan daerah bagi menerangkan perancangan serta hasil kerja kerajaan kepada rakyat.

Ini secara jelas meletakkannya dalam fungsi komunikasi antara kerajaan dengan masyarakat.

Namun pada masa yang sama, kenyataan Pesuruhjaya Pas Terengganu pada Disember 2018 secara terang menyebut peranan i-MiTS terhadap jentera kerajaan dan jentera parti.

Dua fungsi itu boleh wujud serentak, tetapi ia juga membuka ruang kepada persoalan tentang tatakelola.

Apakah mekanisme yang memastikan kakitangan kerajaan yang berkhidmat melalui institusi seperti i-MiTS membezakan tugas pentadbiran awam dengan aktiviti kepartian?

Dan apabila sesuatu program menggunakan sumber atau struktur kerajaan, apakah garis panduan yang menentukan sama ada ia program untuk rakyat atau aktiviti yang mengukuhkan organisasi politik?

Menariknya, i-MiTS bukan institusi yang hanya muncul pada awal pentadbiran Pas selepas 2018.

Rekod kerajaan tempatan menunjukkan program di bawah i-MiTS masih dilaksanakan pada 2024, manakala dokumen Parlimen yang diterbitkan pada 2026 turut menyenaraikan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera sebagai IMiTS.

Maka, persoalan mengenai i-MiTS bukan lagi semata-mata persoalan sejarah selepas kemenangan Pas pada 2018.

Ia menjadi persoalan yang lebih besar mengenai bagaimana sesebuah institusi kerajaan negeri yang mempunyai fungsi penerangan, dakwah dan pembangunan masyarakat mengekalkan sempadan antara pentadbiran kerajaan dengan aktiviti politik parti.

Rekod menunjukkan kedua-dua unsur itu pernah disebut secara terbuka oleh pemimpin Pas sendiri.

Yang masih menjadi persoalan ialah dimana sebenarnya garis pemisah antara jentera kerajaan dan jentera parti itu ditarik dan siapa yang memastikan garis tersebut tidak kabur?

BACA JUGA MP Pendang tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar