‘Saya penyokong Pas tapi YB buat kerja tetap saya sokong’, usaha Dr Hafidzah di Kota Lama raih pujian
Bayangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim mengenai perubahan yang bakal dilakukan di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu, menuai pujian pengguna media sosial, termasuk individu yang mengaku sebagai penyokong Pas.
Menerusi satu video berdurasi singkat yang dimuat naik di Facebook, wakil rakyat daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) itu memperlihatkan keadaan kawasan lapang di sepanjang tebing sungai Jalan Gajah Mati yang berpotensi dibangunkan untuk kegunaan masyarakat.
“Nantikan apa yang bakal berlaku di Jalan Gajah Mati?” tulisnya ringkas disusuli reaksi positif orang ramai yang menantikan perkembangan di kawasan berkenaan.
Menariknya, antara komentar yang mendapat perhatian ialah pandangan seorang pengguna Facebook, Muhammad Afieq, yang mengaku sebagai penyokong Pas.
Beliau bagaimanapun menyatakan kesediaan memberikan sokongan kepada wakil rakyat yang menjalankan tanggungjawab tanpa mengira perbezaan parti.
“Saya penyokong Pas, tetapi kalau YB jenis wakil rakyat yang buat kerja, saya tetap sokong walaupun berlainan parti,” katanya menerusi komentar yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Komitmen
Seorang lagi pengguna, Muhammad Solehaddeen Che Rahimi, turut memberikan penghargaan terhadap usaha Dr Hafidzah dan berharap lebih ramai wakil rakyat menunjukkan komitmen terhadap pembangunan kawasan masing-masing.
“Bayangkan ramai lagi wakil rakyat macam YB Dr Hafidzah di Kelantan,” tulisnya sambil menyatakan harapan untuk melihat perubahan di negeri berkenaan.
Mohd Shokri Zakaria pula berkata, banyak perubahan berlaku sejak Dr Hafidzah menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Kota Lama.
Beliau membandingkannya dengan pengalamannya ketika tinggal di kawasan berkenaan sebelum ini.
Sementara itu, Che Elfie berharap usaha seperti itu diteruskan kerana terdapat inisiatif yang mungkin tidak begitu menonjol tetapi memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.
Hantaran tersebut turut mencetuskan perbincangan mengenai kemungkinan pembangunan kemudahan rekreasi.
Beberapa pengguna mencadangkan kawasan itu dijadikan lokasi riadah, termasuk pembinaan laluan joging, berbasikal dan kawasan persiaran tepi sungai.
Untuk rekod, Dr Hafidzah mencipta sejarah apabila memenangi kerusi DUN Kota Lama pada Pilihan Raya Negeri Kelantan 2023, sekali gus menjadi wakil rakyat pertama Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kerusi DUN di negeri itu.
Beliau memperoleh 9,691 undi dan menewaskan calon Pas, Datuk Zamri Ismail, dengan majoriti tipis 202 undi.
Beliau sebelum ini menyatakan komitmen untuk menangani masalah penduduk Kota Lama, termasuk aspek kebersihan, sistem perparitan, kemudahan asas, peluang pekerjaan dan persekitaran perniagaan.
BACA JUGA ‘Selamat berehat, abangku, damailah di sana’, luahan hati sayu Anwar iringi pemergian Idrus