Steven Sim kenang jasa Cikgu Idrus, abang Anwar yang tegas dan prihatin

Pemergian abang kandung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allahyarham Idrus Ibrahim, bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut dirasai mereka yang pernah menerima didikan dan bimbingannya sepanjang hayat.

Allahyarham Idrus, 83 tahun, meninggal dunia di kediamannya di Cheruk Tokkun, Bukit Mertajam pada petang semalam.

Menurut keluarganya, Allahyarham ditemukan tidak sedarkan diri selepas berehat dan dipercayai sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat Asar. Pasukan perubatan mengesahkan beliau meninggal dunia akibat sakit tua.

Allahyarham merupakan seorang bekas guru besar yang cukup dikenali dalam kalangan masyarakat setempat.

Sepanjang bergelar pendidik, beliau dikenang sebagai individu yang tegas dalam mendidik, namun sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak muridnya.

Antara yang pernah menerima didikan Allahyarham ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Steven menyifatkan hubungan mereka melangkaui hubungan biasa antara seorang guru dengan anak murid.

“Cikgu Idrus bukan sekadar guru dan seorang guru besar kepada saya.

“Beliau merupakan seorang pendidik yang tegas, berdisiplin dan berprinsip, tetapi sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak muridnya,” katanya.

Malah, hubungan itu terus kekal apabila Steven memasuki dunia politik.

Menurut beliau, Allahyarham terus menjadi antara individu yang memberikan pandangan dan bimbingan kepadanya ketika perjalanan kerjayanya berkembang daripada seorang Ahli Parlimen sehingga menjadi anggota Kabinet.

“Saya juga sangat menghargai segala nasihat dan bimbingan yang beliau berikan kepada saya ketika saya baru memulakan langkah sebagai Ahli Parlimen sampailah sehingga menjadi seorang Ahli Kabinet.

“Jasa Cikgu sentiasa saya ingat,” katanya sambil merakamkan takziah kepada Anwar dan seluruh keluarga.

Anwar menerima berita pemergian abangnya ketika beliau dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas lawatan kerja tiga hari ke China.

Perdana Menteri turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat-saat akhirnya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan sepuluh cucu. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheruk Tokkun Bawah selepas solat Jumaat tadi.

BACA JUGA ‘Selamat berehat, abangku, damailah di sana’, luahan hati sayu Anwar iringi pemergian Idrus