Kedah dapat ‘durian runtuh’ RM3 juta lebih, Anwar tumpu sekolah Islam dan pengajian hadis 

Sebanyak RM3.05 juta diperuntukkan bagi memperkukuh institusi pendidikan Islam dan pengajian hadis di Kedah, dengan RM2.8 juta daripadanya disalurkan untuk kerja membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan tambahan tersebut diluluskan bagi memastikan para pelajar dapat menuntut ilmu dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat.

Menurut Anwar, kerajaan juga meluluskan RM250,000 kepada Pertubuhan Mujamma’ Ibnu Sunni Al-Talaqqi (MUSTAQ), Pendang, bagi melaksanakan Program Khatam Hadis Sunan Sittah serta Musthola Hadis.

“Kerajaan MADANI akan terus memartabatkan syiar Islam dengan memperkukuh institusi pendidikan Islam serta menyuburkan pengajian dan kefahaman ilmu hadis dalam masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata kedua-dua peruntukan berkenaan akan diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Kedah.

Beliau berharap usaha berkenaan dapat memberi manfaat kepada para pelajar selain membantu menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

Peruntukan itu diumumkan ketika Anwar menghadiri program berkaitan pengajian Islam di Pondok Mujamma’ Ibnu Sunni Al-Talaqqi (MUSHTAQ), Pendang, pada Jumaat.

Dalam program tersebut, lebih 1,500 peserta hadir dan turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

BACA JUGA ‘Saya penyokong Pas tapi YB buat kerja tetap saya sokong’, usaha Dr Hafidzah di Kota Lama raih pujian