Akhirnya Ismail menghadap Tuanku Muhriz, kemelut adat masuk fasa baharu
Selepas berhari-hari menjadi tumpuan susulan kemelut adat dan perlembagaan Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim akhirnya menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini pagi ini.
Kenderaan membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dilihat tiba di pekarangan istana kira-kira jam 10.50 pagi.
Memetik laporan Sinar Harian, pertemuan tersebut turut menyaksikan kehadiran Undang Yang Empat yang tidak dipertikaikan, termasuk Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, turut dilihat hadir di Istana Hinggap pada pagi ini.
Kehadiran mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut adat yang berlarutan di Negeri Sembilan, khususnya selepas pembatalan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa 20 September lalu.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan mandat kepada Ismail untuk menghadap Tuanku Muhriz, Undang Yang Empat serta pimpinan dalam hierarki adat negeri bagi mencari jalan penyelesaian.
Ahmad Zahid berkata penyelesaian perlu dicari di peringkat negeri dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, adat dan peraturan sedia ada, selain memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan mesti disantuni.
“Kita cari jalan penyelesaian yang baik di peringkat negeri dan tentunya kita tidak mahu keadaan semakin keruh dan rakyat akan dimangsakan dengan situasi ini,” katanya seperti dipetik sebelum ini.
Ahmad Zahid sebelum itu turut memberikan mandat kepada Ismail untuk bertemu Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar serta hierarki adat lain bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut berkenaan.
Pada masa sama, kemelut itu tercetus selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa 20 September, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Pertemuan Ismail dengan Tuanku Muhriz pagi ini menjadi perkembangan penting dalam usaha mencari jalan keluar terhadap kemelut tersebut, selepas beberapa minggu isu berkenaan turut dikaitkan dengan dakwaan mengenai Surat Cara Proklamasi dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Ismail dilaporkan membuat laporan polis berhubung isu Surat Cara Proklamasi, manakala polis turut menjalankan siasatan terhadap perkara yang berkaitan dengan kemelut adat dan perlembagaan negeri itu.
Dengan pertemuan di Istana Hinggap hari ini, perhatian kini tertumpu kepada hasil perbincangan antara Ismail, Tuanku Muhriz dan pimpinan adat Negeri Sembilan serta sama ada ia dapat membuka ruang kepada penyelesaian terhadap kemelut yang berlarutan.
BACA JUGA Bagaimana isu UiTM Holdings bermula?