Kepintaran sahaja tidak cukup, Anwar gesa golongan profesional berani tolak rasuah
Kecemerlangan akademik dan kepakaran profesional semata-mata tidak mencukupi untuk mengangkat martabat negara jika tidak disertai nilai etika, integriti serta keberanian menolak rasuah dan ketirisan.
Perdana Menteri menegaskan bahawa sesebuah negara atau tamadun bukan hanya dibangunkan melalui kemajuan fizikal dan angka pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut bergantung kepada golongan berilmu, berprinsip serta memahami amanah di sebalik kepakaran mereka.
Menerusi perutusan sempena Hari Ikhtisas Malaysia yang disambut pada 29 September setiap tahun, beliau mengingatkan bahawa usaha mengejar kecemerlangan dan pengkhususan dalam sesuatu bidang perlu diseimbangkan dengan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dan kemanusiaan.

“Mana-mana negara atau tamadun tidak hanya berdiri dengan batu, besi ataupun angka-angka pertumbuhan saban tahun.
“Malah, ia dibangunkan juga oleh kalangan mereka yang berilmu, berprinsip dan menggarap bahawa setiap kepakaran datang bersama amanah.
“Justeru, memang kita digesa untuk mengejar dan menggapai kecemerlangan serta pengkhususan (specialization), namun ilmu yang membeku dalam ruang dogma akhirnya boleh kehilangan makna dan jiwa,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau malam ini.
Terpisah daripada kesedaran
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merujuk pandangan ahli falsafah terkenal, José Ortega y Gasset, mengenai bahaya barbarism of specialization, iaitu keadaan apabila seseorang terlalu mendalami bidang kepakarannya sehingga terpisah daripada kesedaran terhadap permasalahan masyarakat.
Menurut beliau, ilmu yang terperangkap dalam pemikiran sempit dan dogma akhirnya boleh kehilangan makna serta nilai kemanusiaan yang sepatutnya menjadi asas kepada setiap profesion.
Justeru, beliau menekankan bahawa kepakaran profesional mesti bergerak seiring dengan etika, manakala kecemerlangan perlu disertai prinsip itqan fil amal, iaitu kesungguhan dan ketelitian dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.

Anwar turut mengingatkan bahawa profesionalisme sebenar menuntut keberanian untuk menyatakan kebenaran serta ketegasan menolak segala bentuk rasuah, ketirisan dan kerosakan dalam sistem pentadbiran mahupun masyarakat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mencapai kemajuan sebenar hanya dengan melahirkan lebih ramai individu pintar, sebaliknya memerlukan rakyat yang mampu menggabungkan kepintaran dengan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan.
“Malaysia akan terangkat apabila kepintaran itu dipadukan dengan hikmah, apabila perbezaan kaum, agama dan wilayah tidak menjadi tembok yang memisah, tetapi menjadi tiang kekuatan yang menyempurnakan wajah dan seri sesebuah bangsa,” kata beliau.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu sambutan Hari Ikhtisas Malaysia dilihat lebih daripada sekadar penghargaan kepada golongan profesional, sebaliknya dijadikan peringatan tentang tanggungjawab besar yang hadir bersama ilmu dan kepakaran.
“Ia adalah suatu peringatan bahawa ilmu tidak semata jalan ke arah kecemerlangan, tetapi wahana untuk meninggikan martabat negara dan masa depan generasi yang bakal mewarisinya,” seru Anwar lagi.
BACA JUGA ‘Bila dah meninggal baru nak tunjuk baik’, Ridhuan Tee mengundang kecaman ramai