Anwar bongkar 3 perkara anak muda perlu ada untuk pacu masa depan Malaysia
Malaysia memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut memiliki kekuatan semangat, kefahaman yang luas dan ilmu untuk menggalas tanggungjawab memacu pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketiga-tiga unsur itu penting bagi membentuk generasi yang mampu memahami cabaran negara secara menyeluruh, khususnya ketika mereka diberi peluang mendekati sistem pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, generasi muda tidak seharusnya mengehadkan pemahaman mereka kepada bidang atau kementerian tempat mereka ditempatkan kerana pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan lazimnya membabitkan kerjasama antara pelbagai kementerian dan agensi.
“Anak-anak boleh tahu, faham bahawa pendekatan kita harus komprehensif. Maknanya, walaupun tugasnya di Kementerian Belia atau Kementerian Pengangkutan, tetapi pemahamannya harus lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program melibatkan peserta MADANI Fellowship 2026 bersama barisan menteri, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, pendedahan kepada keseluruhan jentera kerajaan penting supaya peserta memahami peranan setiap kementerian serta bagaimana sesuatu dasar dirangka dan dilaksanakan sehingga memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam konteks itu, beliau mencadangkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari supaya peserta MADANI Fellowship diberikan peluang mengikuti perjalanan kementerian lain pada hari tertentu sepanjang tempoh penempatan mereka.
Cadangan berkenaan membolehkan peserta melihat sendiri fungsi kementerian yang berbeza serta memahami hubungan antara satu kementerian dengan kementerian lain dalam melaksanakan agenda pembangunan negara.
Anwar turut mengingatkan peserta supaya memanfaatkan peluang berinteraksi dengan mentor dalam kalangan menteri bagi mendapatkan pengalaman praktikal berkaitan tugas dan tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, pendedahan sedemikian dapat memberikan pengalaman yang berbeza daripada pembelajaran secara teori kerana peserta berpeluang melihat sendiri proses membuat keputusan serta cabaran yang dihadapi dalam menguruskan hal ehwal kerajaan.
Program MADANI Fellowship merupakan penjenamaan semula Program Felo Perdana selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Jun lalu.
Seramai 76 peserta menyertai program berkenaan dan akan ditempatkan selama empat bulan bermula hari ini di Pejabat Menteri, Pejabat Timbalan Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha Negara serta agensi terpilih di bawah kementerian.
Melalui penempatan itu, peserta berpeluang mendapatkan pengalaman dan pengetahuan secara langsung mengenai pentadbiran kerajaan, selain membina jaringan dengan pemimpin serta pegawai kanan kerajaan.
Bagi Anwar, pendedahan tersebut juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan generasi muda yang mempunyai kefahaman lebih luas mengenai negara, sekali gus mampu membawa ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk menyumbang kepada pembangunan Malaysia pada masa akan datang.
BACA JUGA RoS perlu waspada? Tun Faisal dakwa Pas lengahkan isu penggantungan PN