Dua hari lalu runding dengan PN, hari ini Pas kata rundingan Umno pula dah 90 peratus
Belum pun reda laporan Pas sedang menyusun kerangka pembahagian kerusi bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, parti itu hari ini mendedahkan rundingan dengan Umno pula sudah mencapai hampir 90 peratus persefahaman.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai bentuk sebenar kerjasama yang sedang dirangka Pas menjelang PRN berkenaan, khususnya apabila parti itu dilihat bergerak dalam dua landasan rundingan dalam tempoh hanya beberapa hari.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan menerusi jawatankuasa perunding Pas dan Umno kini hampir selesai dan hanya menunggu pengesahan parti masing-masing.
“Kita sudah ada perundingan bersama Umno.
“Boleh dikatakan ia hampir 90 peratus selesai, cuma mandat jawatankuasa perunding ini perlu dibawa kepada parti masing-masing untuk pengesahan,” katanya selepas mesyuarat Majlis Syura Ulamak di Kompleks Pas Perlis, hari ini.
Persefahaman dengan Umno
Namun, hanya dua hari lalu, Tuan Ibrahim bercakap mengenai rundingan pembahagian kerusi dalam kerangka PN, termasuk sasaran Pas untuk bertanding antara tujuh hingga 10 kerusi.
Kini, Pas menyebut pula persefahaman dengan Umno sudah berada pada tahap 90 peratus, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kedudukan Bersatu dan rakan lain dalam PN.
Lebih menarik, prinsip rundingan Pas-Umno yang didedahkan Tuan Ibrahim ialah tidak mengganggu kerusi penyandang pemenang.
Prinsip itu hampir sejajar dengan pendirian keras BN Melaka yang sejak awal menegaskan 21 daripada 28 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN 2021 tidak akan dikompromi kepada mana-mana parti lain.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini secara terbuka menyatakan 21 kerusi itu merupakan “garisan sempadan perbincangan” bagi mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan BN.
Pada PRN 2021, BN menang 21 kerusi, PH lima dan PN dua, bermakna hanya tujuh kerusi berada di luar penguasaan BN.
Di sinilah timbul satu lagi persoalan matematik politik. Pas kini menjangkakan akan bertanding antara enam hingga 10 kerusi, sedangkan BN pada masa sama mahu mempertahankan kesemua 21 kerusinya.
Jika prinsip “jangan ganggu penyandang” benar-benar digunakan, ruang yang tinggal di luar 21 kerusi BN hanyalah tujuh kerusi.
Justeru, sasaran maksimum 10 kerusi yang disebut Pas membuka persoalan sama ada berlaku pertukaran kerusi, pengurangan tuntutan mana-mana pihak atau wujud formula lain yang belum didedahkan kepada umum.
Pertukaran kerusi
Ab Rauf sebelum ini memang menyatakan tujuh kerusi di luar penguasaan BN boleh menjadi ruang rundingan, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi.
Namun, beliau turut mengingatkan bahawa rundingan tidak semestinya berakhir dengan pembentukan kerjasama rasmi.
Tuan Ibrahim hari ini turut mengakui Umno menang besar pada PRN lalu.
“Oleh kerana di Melaka ini Umno sudah menang besar pada pilihan raya sebelum ini, kita akui perkara itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat beberapa kerusi yang belum dimenangi BN atau PN dan kawasan itu sedang dipertimbangkan untuk Pas bertanding.
Pas turut membawa naratif bahawa muafakat bersama Umno penting untuk mengekang kemaraan DAP, selain mendakwa formula kerjasama seperti itu boleh mengulangi apa yang berlaku di Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, Majlis Syura Ulamak Pas sudah meluluskan senarai dua hingga tiga nama calon bagi setiap DUN yang dikemukakan Badan Perhubungan Pas Melaka.
Ini bermakna calon sudah ditapis, sasaran enam hingga 10 kerusi sudah disebut dan rundingan dengan Umno pula didakwa 90 peratus selesai, sedangkan beberapa hari sebelumnya rundingan Pas masih disebut dalam kerangka PN.
BACA JUGA Tak perlu tanah luas, Mat Sabu ajak rakyat mulakan ‘kebun dapur’ di balkoni