Tak perlu tanah luas, Mat Sabu ajak rakyat mulakan ‘kebun dapur’ di balkoni

Tidak mempunyai halaman atau tanah luas bukan lagi alasan untuk tidak bercucuk tanam apabila ruang kecil termasuk balkoni rumah boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan sayur-sayuran sendiri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, menerusi Kempen Kebun di Rumah Sendiri (KENDIRI), rakyat digalakkan memulakan tanaman mengikut kemampuan dan ruang yang tersedia di kediaman masing-masing.

Menurutnya, tanaman yang mudah serta cepat dituai seperti kangkung, bayam dan sawi boleh menjadi pilihan untuk mereka yang baru mahu bermula.

Berdasarkan panduan dikongsikan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kangkung boleh dituai sekitar 20 hingga 25 hari, bayam antara 25 hingga 30 hari manakala sawi sekitar 30 hingga 35 hari.

“Mulakan dengan apa yang mudah dan sesuai dengan ruang yang ada. Sedikit usaha setiap hari boleh membekalkan sayur segar untuk keluarga sendiri,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Mohamad sebelum ini menjelaskan KENDIRI bukan bertujuan menggantikan sistem bekalan makanan negara, sebaliknya menjadi sumber makanan tambahan bagi isi rumah. Kempen itu dilancarkan sempena MAHA 2026 sebagai usaha menggalakkan rakyat menghasilkan sebahagian makanan mereka sendiri.

Konsep itu turut menekankan prinsip “Gunakan Ruang Yang Kita Ada”, membolehkan aktiviti bercucuk tanam dilakukan bukan sahaja di rumah bertanah, malah di pangsapuri dan kondominium yang mempunyai ruang terhad.

Mohamad berkata amalan menanam sendiri sebahagian keperluan sayuran dan herba juga berpotensi membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah serta meningkatkan daya tahan keluarga ketika berlaku gangguan bekalan makanan atau kenaikan harga.

Kempen KENDIRI membawa mesej mudah kepada rakyat — “Tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam.”

BACA JUGA Lee Chean Chung lepaskan kerusi Parlimen Petaling Jaya