Ibu bapa ambil perhatian, sekolah buka 4 Januari, KPM umum Kalendar Akademik 2027
Sesi persekolahan bagi tahun 2027 akan bermula pada 4 Januari depan bagi semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan perkara itu menerusi Kalendar Akademik Tahun 2027 yang turut menetapkan tarikh akhir persekolahan serta cuti sempena perayaan utama.
Bagi Kumpulan A yang melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, sesi persekolahan akan berakhir pada 2 Disember 2027.
Sekolah dalam Kumpulan B pula akan menamatkan sesi pada 3 Disember 2027.
Kumpulan B merangkumi Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Menurut KPM, tarikh cuti sempena perayaan utama turut diselaraskan sepanjang sesi persekolahan 2027, termasuk Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Aidiladha, Pesta Kaamatan, Hari Gawai Dayak, Wesak dan Krismas.
“Semua sekolah hendaklah mematuhi peruntukan cuti tambahan oleh KPM sempena perayaan utama bagi sambutan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Aidiladha, Hari Wesak dan Deepavali.
“Peruntukan cuti tambahan berkenaan tidak perlu diganti,” menurut kenyataan KPM menerusi kenyataan lewat malam tadi.
Dalam pada itu, sesi persekolahan tahun 2028 ditetapkan bermula pada 3 Januari 2028 bagi kedua-dua Kumpulan A dan Kumpulan B.
KPM berkata, penyeragaman itu bagi memastikan pembukaan sesi persekolahan lebih tersusun selain memudahkan perancangan pentadbiran sekolah serta pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
BACA JUGA ‘Dulu Bersatu ada kuasa, duit pun sikap sama’, Tun Faisal sindir Pas sedia guna logo BN