4.2 juta warga emas: Malaysia perlu bersedia hadapi status negara tua
Malaysia perlu memperkukuh sistem sokongan dan penjagaan warga emas lebih awal susulan jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas yang kini mencecah 4.2 juta orang atau 12.3 peratus daripada populasi negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah itu dijangka terus meningkat sehingga Malaysia mencapai status Negara Tua pada 2036, apabila warga emas membentuk sekurang-kurangnya 15 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Menurutnya, berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk negara pada 2026 dianggarkan 34.4 juta orang, dengan 4.2 juta daripadanya terdiri daripada warga emas.
Katanya, perubahan demografi berkenaan memerlukan persediaan menyeluruh, khususnya dari segi peluang pekerjaan, jaminan pendapatan serta sistem kesihatan awam yang mampu memenuhi keperluan golongan tersebut.
“Kita tidak melihat warga emas sebagai beban, sebaliknya sebagai aset berharga negara. Mereka adalah penyimpan pengalaman, penghubung generasi dan pemacu pembangunan berteraskan nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Grand Ballroom, Melaka International Trade Centre (MITC), hari ini.
Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh sistem sokongan warga emas melalui pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN).
Usaha itu turut merangkumi pengukuhan jaringan perlindungan sosial serta pembangunan komuniti mesra warga emas melalui Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), PAWE@3A, program kesukarelawanan dan platform digital kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, kerajaan turut memberi keutamaan kepada pendekatan penjagaan berasaskan keluarga dan Penuaan Setempat (Ageing-in-Place) supaya warga emas dapat terus menjalani kehidupan dalam komuniti masing-masing.
Antara bantuan yang disediakan ialah Skim Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM600 sebulan secara bersasar kepada individu yang layak.
Sehingga Julai lalu, katanya, sebanyak RM711.8 juta telah disalurkan menerusi skim berkenaan dengan 171,236 warga emas menerima manfaat.
Penjagaan warga emas perlu dilihat sebagai ekosistem
Dalam masa sama, KPWKM sedang memperkukuh ekosistem penjagaan menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026–2030.
Nancy berkata kerangka itu memberi tumpuan kepada keperluan serta penawaran penjaga profesional, jurang kepakaran, kesan ekonomi dan aspek berkaitan dasar, perundangan serta insentif kepada industri penjagaan.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan peningkatan jumlah warga emas pada masa depan tidak hanya dilihat sebagai isu kebajikan, sebaliknya turut melibatkan keluarga, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pihak berkepentingan.
Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 tahun ini membawa tema “Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni” dan menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perubahan demografi negara.
Ia turut memberi penghargaan serta pengiktirafan terhadap sumbangan warga emas, selain memperkukuh kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, komuniti dan individu.
Sambutan Hari Warga Emas Sedunia mula diperkenalkan pada 1990 selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan 1 Oktober sebagai hari khusus bagi warga emas, manakala Malaysia mula mengiktiraf sambutan itu pada 1992.
Sambutan peringkat kebangsaan tahun ini diadakan pada 3 Oktober bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga emas menyertainya.
Dengan jumlah warga emas yang terus meningkat, persediaan untuk menghadapi status Negara Tua tidak lagi boleh dilihat sebagai agenda jangka panjang semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan berterusan bagi memastikan golongan itu kekal produktif, terlindung dan dihargai dalam masyarakat.
BACA JUGA Pelajar 16 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam sekolah, meninggal dunia