Defisit turun, hutang lebih terkawal : LKAN akui kedudukan kewangan kerajaan bertambah baik

Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan perkembangan positif pada 2025 apabila defisit berjaya dikurangkan kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih baik daripada sasaran 3.8 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025.

Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 yang turut merekodkan peningkatan lebihan hasil serta penyederhanaan pertumbuhan hutang Kerajaan Persekutuan bagi tempoh lima tahun hingga 2025.

Menurut laporan itu, lebihan hasil kerajaan meningkat sebanyak RM2.184 bilion, manakala defisit berkurang sebanyak RM3.878 bilion berbanding 2024. Nisbah defisit kepada KDNK turut menurun daripada 4.1 peratus kepada 3.7 peratus.

“Pencapaian ini lebih kukuh berbanding sasaran 3.8% yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radz.

Laporan itu berkata perkembangan berkenaan meletakkan asas yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus.

Dari segi kedudukan hutang pula, kadar pertumbuhan hutang Persekutuan bagi tempoh 2021 hingga 2025 menurun daripada 10.2 peratus kepada 5.9 peratus.

Pinjaman baharu kerajaan turut berkurang sebanyak 8.2 peratus, daripada RM202.248 bilion pada 2024 kepada RM185.577 bilion pada 2025.

Daripada jumlah itu, RM106.144 bilion digunakan untuk membayar balik prinsipal pinjaman terdahulu yang matang pada 2025, manakala RM75.560 bilion dipindahkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai projek pembangunan. 

Dapatan tersebut turut hadir bersama pengesahan Audit terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi 2025 apabila Ketua Audit Negara memberikan Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) berserta Perenggan Hal-hal Lain. Pasted text

Dalam laporan berkenaan, Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radz turut menegaskan peranan institusi Audit dalam memastikan pengurusan kewangan kerajaan terus tertakluk kepada penelitian dan semak imbang.

“Ketua Audit Negara terus bebas dan tegas dalam memberikan pendapat Audit serta melaporkan penemuan tanpa kompromi,” katanya. 

Bagaimanapun, LKAN turut menunjukkan masih terdapat ruang penambahbaikan, khususnya dalam pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut, apabila hanya RM465 juta atau lima peratus daripada RM9.273 bilion berjaya dikutip pada 2025. 

Ketua Audit Negara mengesyorkan Kementerian Kewangan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, memperketat penilaian risiko serta menilai semula keberkesanan langkah penstrukturan semula pinjaman.

Secara keseluruhannya, LKAN 2/2026 menunjukkan beberapa petunjuk positif dalam kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2025, khususnya dari segi pengurangan defisit, penyederhanaan pertumbuhan hutang dan pengurangan pinjaman baharu.

Pada masa sama, dapatan Audit memperlihatkan konsolidasi fiskal perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh kutipan hasil, mengawal risiko kewangan dan memastikan setiap perbelanjaan kerajaan memberikan nilai terbaik kepada rakyat.

BACA JUGA Gabungan SIC, BIC jadikan F1 Bahrain Grand Prix 2026 berjaya