Sindiket curi kabel makin berani? Kerajaan pertimbang hukuman lebih berat
Kecurian kabel yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pemilik infrastruktur malah mengganggu operasi pengangkutan awam dan kemudahan strategik negara mendorong kerajaan mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap kegiatan berkenaan, khususnya yang melibatkan sindiket.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata langkah itu termasuk kemungkinan meminda undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman lebih tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan kecurian kabel.
Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membincangkan perkara berkenaan, termasuk tindakan terhadap pihak yang menerima atau membeli kabel curi.
“Kerana beberapa kali terjadi LRT dekat Kelana Jaya tidak dapat beroperasi, bukan akibat daripada kesilapan operasi, akibat daripada kehilangan kabel dicuri oleh sindiket,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai kawalan dan tindakan terhadap pihak ketiga yang membeli atau menerima kabel curi, termasuk pengusaha barangan lusuh.
Mumtaz sebelum itu membangkitkan trend kecurian kabel elektrik serta infrastruktur strategik yang kemudiannya dijual kepada pengusaha barangan lusuh, selain meminta kerajaan menjelaskan bentuk kawalan terhadap pembeli atau penadah.
Nga berkata penerimaan barangan yang diketahui dicuri juga merupakan satu kesalahan jenayah dan pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan, sekali gus menunjukkan usaha membanteras kegiatan itu perlu memutuskan keseluruhan rantaian daripada pencuri hingga kepada pembeli.
“Sebab itu kita memberikan isyarat yang penting, sekiranya ditangkap hukuman setimpal akan dikenakan untuk pastikan kita terus menjaga keselamatan awam dan juga kesejahteraan rakyat,” katanya.
Kebimbangan terhadap kegiatan itu semakin ketara selepas beberapa kes kecurian kabel dilaporkan menjejaskan infrastruktur pengangkutan dan telekomunikasi.
Antaranya, kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine pada 4 Oktober menyebabkan gangguan bekalan kuasa dan menjejaskan operasi MRT Laluan Putrajaya sebelum perkhidmatan dipulihkan pada hari sama.
Di Nilai, polis baru-baru ini menumpaskan tujuh sindiket yang dipercayai terbabit dalam kecurian kabel dan peralatan telekomunikasi, dengan 47 individu ditahan serta kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM4.5 juta bagi kes yang direkodkan antara Januari hingga 30 September.
Kes kecurian kabel turut dilaporkan membabitkan projek infrastruktur strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Di Kelantan, polis sebelum ini menumpaskan sindiket yang dipercayai terbabit dalam empat kes kecurian kabel dan peralatan ECRL, manakala di Pahang sekumpulan individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian kabel projek sama.
Perkembangan itu menunjukkan kegiatan kecurian kabel bukan lagi sekadar isu kehilangan harta benda, sebaliknya boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan awam, meningkatkan kos pembaikan serta dalam keadaan tertentu menimbulkan risiko kepada keselamatan pengguna.
Pada masa sama, nilai tembaga dalam kabel menjadikan bahan berkenaan sasaran sindiket untuk dijual semula kepada pasaran barangan lusuh.
Kerajaan sebelum ini turut memberi isyarat untuk memperketatkan hukuman bagi kesalahan berkaitan kecurian kabel infrastruktur rel, termasuk cadangan pindaan undang-undang dengan hukuman lebih tinggi.
Dalam masa sama, penguatkuasaan terhadap pembeli dan penadah dilihat penting kerana kewujudan pasaran untuk kabel curi boleh menjadi faktor yang mengekalkan kegiatan tersebut.
Dengan semakin banyak kes membabitkan kabel milik pengangkutan awam, telekomunikasi dan projek strategik, persoalan yang kini perlu dijawab bukan hanya bagaimana menangkap pencuri, tetapi bagaimana memutuskan rantaian yang menjadikan kabel curi mempunyai nilai di pasaran.
BACA JUGA Gabungan SIC, BIC jadikan F1 Bahrain Grand Prix 2026 berjaya