Berita di Indonesia disebar seolah-olah berlaku di Malaysia, kalau bukan hasutan, apa namanya?

Tindakan seorang individu menggunakan akaun media sosial Tam RJebat menyebarkan berita mengenai kematian seorang kanak-kanak di Jawa Tengah, Indonesia seolah-olah kejadian itu berlaku di Malaysia menimbulkan persoalan serius mengenai tujuan naratif berkenaan disebarkan kepada pengguna media sosial tempatan.

Lebih membimbangkan, hantaran berkenaan bukan sekadar berkongsi berita luar negara tanpa konteks, malah mengaitkannya secara langsung dengan keadaan sekolah dan pentadbiran kerajaan di Malaysia.

Dalam hantaran yang tular, kes kematian Muhammad Hasbi Al Aqib, tujuh tahun di Pemalang, Jawa Tengah, Indonesia digunakan bersama gambar kanak-kanak berkenaan sebelum naratif itu dibawa kepada dakwaan kononnya sekolah di Malaysia kini tidak lagi selamat.

Sedangkan semakan daripada sumber laporan media Indonesia menunjukkan kes berkenaan berlaku di SDN 1 Kebondalem, Pemalang, Jawa Tengah dan masih dalam siasatan polis Indonesia. Polis juga belum membuat kesimpulan bahawa dugaan perundungan mempunyai kaitan dengan punca kematian kanak-kanak itu. 

Malah, pihak berkuasa Indonesia telah menjalankan bedah siasat serta memeriksa beberapa saksi bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian yang berlaku sebelum kematian mangsa.

Setakat ini, enam saksi termasuk rakan mangsa, pihak sekolah dan ibu bapanya telah diperiksa, manakala polis turut meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri sementara siasatan masih berjalan

Namun, hantaran yang dikongsi di Malaysia itu dilihat membawa kes berkenaan ke arah naratif yang jauh lebih besar apabila ia digunakan untuk mendakwa kononnya pentadbiran kerajaan sekarang gagal, selain menggambarkan sekolah sebagai tempat yang tidak lagi selamat untuk pelajar.

Persoalannya, mengapa berita mengenai kejadian di sebuah sekolah di Pemalang, Jawa Tengah, dibawa ke dalam konteks Malaysia tanpa penjelasan yang jelas bahawa ia sebenarnya berlaku di Indonesia?

Jika pembaca hanya melihat hantaran berkenaan tanpa menyemak sumber asal, mereka dengan mudah boleh mendapat gambaran bahawa kejadian itu berlaku di Malaysia, sedangkan lokasi sebenar adalah di Jawa Tengah.

Lebih serius, apabila fakta luar negara yang tidak dijelaskan konteksnya kemudian disambungkan dengan tuduhan terhadap kerajaan dan keadaan keselamatan sekolah di Malaysia, ia berpotensi membentuk persepsi awam berdasarkan maklumat yang mengelirukan.

Dalam keadaan masyarakat mudah berkongsi kandungan media sosial tanpa menyemak sumber asal, tindakan seperti itu bukan lagi sekadar soal kecuaian berkongsi berita, sebaliknya boleh menimbulkan kegusaran dan ketidaktenteraman sekiranya dilakukan secara sengaja.

PDRM sendiri sebelum ini mengingatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran berita tidak sahih kerana kandungan sedemikian boleh mengganggu ketenteraman awam. 

Justeru, persoalan yang wajar dikemukakan ialah sama ada tindakan menggunakan tragedi yang berlaku di negara jiran, kemudian membawanya seolah-olah mencerminkan keadaan di Malaysia, merupakan sekadar penyebaran maklumat mengelirukan atau mempunyai unsur yang lebih serius untuk mencetuskan kegusaran dan hasutan dalam kalangan masyarakat.

Kalau berita Indonesia pun boleh direka konteksnya sehingga seolah-olah berlaku di Malaysia, apakah sebenarnya tujuan naratif seperti ini disebarkan?

BACA JUGA LKIM ‘angkat tangan’ minta Bajet 2027 lebih RM140 juta