Anak muda bersuara, PMX dengar: Perjuangan elaun Tingkatan Enam akhirnya berhasil
Suara anak muda bukan lagi sekadar didengar di pentas dialog, sebaliknya mampu mempengaruhi dasar negara apabila perjuangan mendapatkan elaun pelajar Tingkatan Enam akhirnya membuahkan hasil menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Kejayaan itu membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuka ruang kepada generasi muda untuk menyuarakan tuntutan mereka, khususnya berkaitan kebajikan dan masa depan pendidikan.
Pengarah Kongres Prauniversiti MADANI, Muhammad Irfan Nazri, 20, menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai bukti bahawa suara pelajar mampu membawa perubahan apabila diperjuangkan secara tersusun dan melalui pendekatan diplomasi.
“Pengumuman ini membuktikan bahawa suara anak muda mampu mempengaruhi hala tuju dasar negara apabila dibawa dengan strategi dan kesatuan yang jelas.
“Perjuangan elaun pelajar Tingkatan Enam melalui Kongres Prauniversiti MADANI dan JPTE menjadi bukti bahawa ruang dialog yang lebih berdiplomasi antara pelajar dengan pembuat dasar mampu menghasilkan perubahan yang nyata,” katanya dalam kenyataan sempena Belanjawan 2027.
Makna lebih besar
Menurut mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, kejayaan berkenaan bukan semata-mata berkaitan bantuan kewangan, sebaliknya membawa makna lebih besar kepada pengiktirafan pelajar prauniversiti dalam sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, perjalanan mendapatkan perhatian pembuat dasar bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kesabaran, keberanian untuk berunding dan kesungguhan membawa suara pelajar akar umbi ke peringkat tertinggi.
“Sebagai Pengarah Kongres Prauniversiti MADANI, kejayaan ini bukan sekadar soal elaun, sebaliknya pengiktirafan terhadap keperluan dan kebajikan pelajar prauniversiti,” katanya.
Irfan turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan seperjuangan dan pihak berkepentingan yang bersama-sama menjayakan usaha tersebut.
Kejayaan ini sekali gus memperlihatkan bahawa pendekatan rundingan antara wakil pelajar dan kerajaan mampu menghasilkan keputusan yang memberi manfaat kepada golongan muda.
Lebih penting, perkembangan itu memberi mesej bahawa anak muda tidak perlu menunggu sehingga memegang jawatan politik atau berada dalam kerajaan untuk memainkan peranan dalam pembentukan dasar negara.
Apabila anak muda berani bersuara, kerajaan bersedia mendengar dan kedua-duanya bertemu di meja rundingan, perubahan yang diperjuangkan akhirnya mampu menjadi kenyataan.
BACA JUGA Ekonomi negara maju, meja makan rakyat mesti berisi, kocek tidak boleh kosong