Ekonomi negara maju, meja makan rakyat mesti berisi, kocek tidak boleh kosong
Kemajuan ekonomi negara tidak harus sekadar dilihat pada angka pertumbuhan dan kejayaan pelaburan, sebaliknya mesti dirasai rakyat melalui makanan di meja makan, pendapatan yang mencukupi, peluang pekerjaan serta akses kepada pendidikan dan kesihatan berkualiti.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, itulah mesej utama Belanjawan 2027 bertemakan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu, belanjawan tersebut membawa gagasan Wa’ad Nasional, iaitu suatu kontrak perjanjian antara negara dengan rakyat yang berteraskan amanah, tanggungjawab dan akhlak kepimpinan.
“Bagi rakyat, maksudnya mudah, seorang ketua keluarga mesti merasai kemajuan ekonomi dengan menikmati hidangan di meja makan bersama keluarga.
“Merasai kocek berisi di pendapatan hujung bulan, peluang pekerjaan bagi anak-anaknya yang melepasi pendidikan berkualiti dan bagi dirinya menikmati rawatan yang baik semasa ditimpa penyakit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mujahid berkata, keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat diterjemahkan melalui peruntukan hampir RM69 bilion bagi pendidikan, RM19.1 bilion untuk pendidikan tinggi dan RM47.7 bilion bagi sektor kesihatan.

Beliau turut menyambut baik peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion, termasuk bantuan SARA sehingga RM150 sebulan kepada penerima STR.
Katanya, bantuan berkenaan merupakan langkah langsung untuk meringankan perbelanjaan keperluan asas rakyat, sekali gus menggambarkan maksud sebenar pembangunan ekonomi yang mengakar kepada kehidupan masyarakat.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menyifatkan cadangan menaikkan ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027 serta peluasan Dasar Peluang Kedua Prihatin sebagai pembaharuan penting kepada rakyat yang berdepan kesulitan kewangan.
Menurut Mujahid, langkah itu membuka ruang kepada individu yang dibebani hutang, termasuk pekerja berpendapatan tidak tetap dan mereka yang menjaga ahli keluarga memerlukan perhatian khas, untuk membina semula kehidupan.
Doktor kontrak
Dalam sektor kesihatan pula, beliau menyambut baik pengumuman penyerapan lebih 9,000 doktor kontrak ke jawatan tetap kerana ia mampu memperkukuh tenaga kerja perubatan negara.
Bagaimanapun, Mujahid mengingatkan bahawa jaminan kerjaya doktor perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik dan kesinambungan rawatan kepada pesakit.
“Bajet ini memaknai akar umbi yang membina negara ini dengan meringankan beban, memberikan peluang kedua dan memperbaiki sistem yang digunakan rakyat setiap hari.
“Pelaksanaannya mesti cepat, telus dan mudah diakses oleh rakyat,” tegas bekas pemimpin Pas itu.
Mengulas pencapaian ekonomi negara, Mujahid turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan MADANI susulan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, dengan unjuran pertumbuhan keseluruhan tahun ini dinaikkan kepada antara 4.8 hingga 5.3 peratus.
Beliau berkata, perkembangan ekonomi itu memberikan asas kepada Malaysia untuk meneruskan pembangunan pada tahun hadapan, termasuk memperluas peluang pelaburan antarabangsa.
Mujahid turut menyentuh peluasan pelaburan minyak dan gas Petronas di Turkmenistan menerusi perjanjian baharu bagi Blok 19 dan 20 sebagai contoh bagaimana kepakaran syarikat negara serta hubungan diplomatik mampu membuka peluang ekonomi lebih besar.
Namun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bermutu, peningkatan pendapatan serta perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang lebih baik.
“Bagi saya, menggapai di langit mesti mengakar di bumi: pertumbuhan dan kejayaan pelaburan perlu membuka pekerjaan bermutu, meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kemampuan negara menyediakan pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.
“Rakyat mesti menikmati hasil daripada cita-cita besar negara,” katanya.
Dalam masa sama, Mujahid merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas pembentangan Belanjawan 2027, namun menegaskan bahawa kejayaan sebenar belanjawan itu bergantung kepada keberkesanan pelaksanaannya.
“Pembentangan telah berakhir, semoga pelaksanaannya benar-benar mengakar ke bumi dan kejayaan ekonomi negara terus menggapai ke langit.
“Tahniah dan syabas Kerajaan MADANI,” kata Mujahid lagi.
BACA JUGA Bukan sekadar gaji RM2,000, PM Anwar mahu graduan dan pekerja separa mahir bermula RM2,500