Lega ibu bapa, bantuan awal sekolah naik RM200, anak Tingkatan Enam pula terima RM2,500

Berita gembira buat jutaan ibu bapa apabila Kerajaan MADANI mengumumkan peningkatan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid mulai sesi persekolahan 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan bantuan itu bermakna sebuah keluarga yang mempunyai empat anak bersekolah bakal menerima RM800 bagi membantu menyediakan kelengkapan persekolahan mereka.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi manfaat 5.3 juta murid yang layak menerima bantuan berkenaan.

“Sukacita saya umumkan, Bantuan Awal Persekolahan ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid. Ini bermakna, keluarga dengan empat orang anak akan menerima RM800 untuk persiapan bagi sesi persekolahan 2027,” katanya.

Menurut Anwar, bantuan itu akan disalurkan di sekolah bagi membolehkan ibu bapa hadir dan bertemu sendiri dengan guru, sekali gus mengeratkan kerjasama dalam memastikan kemajuan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak.

Pengumuman berkenaan memberikan kelegaan kepada keluarga yang perlu menyediakan perbelanjaan membeli pakaian seragam, kasut, beg dan peralatan sekolah, khususnya mereka yang mempunyai ramai anak.

Lebih menggembirakan, kerajaan turut mengumumkan Elaun Sara Hidup berjumlah RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam, yang dijangka memanfaatkan seramai 90,000 pelajar di seluruh negara.

Anwar berkata, kadar elaun tersebut disamakan dengan elaun yang diterima pelajar matrikulasi, sekali gus memberikan sokongan kewangan kepada pelajar yang meneruskan pengajian pada peringkat prauniversiti.

Selain bantuan kewangan, kerajaan menyediakan peruntukan RM870 juta bagi meneruskan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang akan memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid.

Inisiatif itu bertujuan memastikan murid yang memerlukan terus mendapat bantuan makanan di sekolah, sekali gus menyokong kesihatan, kesejahteraan dan tumpuan mereka terhadap pembelajaran.

BACA JUGA Selepas 45 tahun, PMX umum ‘endowmen’ RM1 bilion kepada Bumiputera, 100 ekar tanah strategik disediakan