Bukan sekadar mahu bergelar suami, Syed Saddiq siap ‘rancang hari tua’ Bella, Ayden dan Ara
Ketika hantaran perkahwinan sering dikaitkan dengan barangan mewah dan aksesori berjenama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil dengan pendekatan berbeza.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menyediakan simpanan persaraan, pembiayaan pendidikan dan perlindungan insurans untuk isteri serta anak-anak tirinya.
Malah, perancangan Syed Saddiq, 34, bukan hanya melibatkan isterinya, Bella Astillah, 32, tetapi turut mengambil kira masa depan dua anak Bella, Ayden dan Ara, termasuk kebajikan ibu bapa kedua-dua belah pihak.
Bertemakan ‘Menua Bersama’, hantaran perkahwinan pasangan yang selamat diijabkabulkan itu termasuklah merangkumi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000.
Selain itu, Bella turut menerima pakej melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi di Taylor’s University.
Aspek perlindungan keluarga turut diberi perhatian apabila Syed Saddiq menyediakan insurans kesihatan, nyawa dan penyakit kritikal untuk Bella serta kedua-dua anaknya.
Hantaran berkenaan turut merangkumi pelaburan emas sebagai satu lagi bentuk simpanan jangka panjang.
Peralatan senaman
Tidak terhad kepada kewangan dan pendidikan, Syed Saddiq turut menyediakan sebuah gim keluarga di kediamannya yang dilengkapi peralatan senaman serta kerusi urut.
Kemudahan itu disediakan untuk kegunaan Bella, Ayden dan Ara, selain ibu bapa kedua-dua belah pihak.
Turut menjadi sebahagian daripada hantaran ialah sebuah basikal memandangkan Bella mempunyai minat terhadap aktiviti berbasikal.
Pasangan tersebut juga menerima tajaan menunaikan ibadah umrah, selain hadiah kasut dan beg tangan.
Sementara itu, Bella membalas dengan sembilan hantaran yang antaranya terdiri daripada sebentuk cincin, buku dan emas.
Pemilihan hantaran bertemakan ‘Menua Bersama’ itu memperlihatkan penekanan terhadap keperluan keluarga dalam jangka panjang, termasuk pendidikan, kesihatan dan persediaan menghadapi usia persaraan.
Terdahulu, Syed Saddiq sah bergelar suami kepada pelakon dan penyanyi itu dengan sekali lafaz pada jam 10.41 pagi.
Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mewakili bapa pengantin perempuan, Awang Astillah Dullah.
Majlis pernikahan itu berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur, dengan hantaran bertemakan ‘Menua Bersama’ menjadi antara pengisian yang mendapat perhatian.