Jalaluddin nafi mahu jatuhkan MB tetapi kemelut Negeri Sembilan masih belum reda

Ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan masih belum menemui penyelesaian, timbul pula spekulasi mengenai kemungkinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berdepan usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Bagaimanapun, Ketua Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias segera menafikan dakwaan bahawa beliau sedang merancang untuk membawa usul berkenaan bagi menjatuhkan Ismail.

Penafian itu mungkin meredakan spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar, namun persoalan lebih besar berhubung pentadbiran negeri masih belum terjawab.

Ini kerana pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibatalkan susulan pertikaian melibatkan institusi diraja.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan atau aturan pernah dibuat untuk membawa usul tidak percaya terhadap Ismail.

“Sama sekali tidak betul. Tiada sebarang aturan mahupun perbincangan untuk buat usul undi tidak percaya terhadap menteri besar,” katanya, dipetik FMT.

Buat kerja

Beliau turut menegaskan tidak mempunyai sebarang sebab untuk mengambil tindakan sedemikian kerana pentadbiran kerajaan negeri, menurutnya, masih berjalan lancar.

“Setakat ini, kita tidak ada masalah kepimpinan di Negeri Sembilan dengan menteri besar. Biar (Ismail) buat kerja beliau sebagai menteri besar, dan saya sebagai ketua parti akan buat kerja sebagai ketua parti.

“Kita banyak lagi perancangan dan agenda untuk kepentingan negeri serta masyarakat yang perlu kita selesaikan,” katanya.

Sebelum ini, FMT memetik sumber tidak dinamakan mendakwa Umno Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan usul tidak percaya terhadap Ismail pada sidang DUN akan datang.

Menurut sumber berkenaan, usul itu dijangka dikemukakan sendiri oleh Jalaluddin, namun tertakluk kepada persetujuan kepimpinan pusat Umno.

Sumber sama turut mendakwa barisan Exco baharu mungkin diumumkan sekiranya langkah berkenaan diteruskan.

Speaker DUN, Awaludin Said sebelum ini turut mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang notis rasmi mengenai usul tidak percaya terhadap Menteri Besar.

Beliau juga menegaskan tidak akan membenarkan usul tergempar untuk menjatuhkan Ismail.

Persidangan DUN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 26 November depan selepas ditangguhkan daripada tarikh asal 16 Oktober bagi menyelaraskannya dengan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada keesokan harinya.

Namun, di sebalik penafian Jalaluddin bahawa tiada masalah kepimpinan, pentadbiran Ismail yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu masih berdepan pertikaian perlembagaan yang belum selesai.

BACA JUGA Pemandu lori rempuh 11 kereta sah ‘kantoi’ 2 jenis dadah ketika PMX pertegas tiada maaf untuk pemandu mabuk dan ‘lalok’