Siapa sebenarnya berdiri bersama Palestin?
Oleh ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN
Selepas 7 Oktober 2023, konflik Palestin-Israel berkembang menjadi konflik serantau yang melibatkan lebih banyak pihak.
Republik Islam Iran bersama sekutu dan kumpulan yang disokongnya di rantau ini mula memainkan peranan lebih agresif dalam menekan Israel dan kepentingan Amerika Syarikat (AS).
Ansarullah di Yaman membuka front di Laut Merah dengan melancarkan serangan terhadap kapal yang dikaitkan dengan Israel dan melancarkan serangan ke penempatan haram Zionis.
Hizbullah di Lubnan pula berbalas serangan dengan Israel di sempadan. Tindakan ini dilihat sebagai sokongan ketenteraan terhadap Palestin.
Iran pula, dengan kekuatan ketenteraannya, telah berdepan secara langsung dengan AS dan Israel. Ratusan peluru berpandu Iran telah menghancurkan kawasan strategik di Tel Aviv dan Haifa.
Ratusan Zionis terbunuh, manakala puluhan pangkalan serta aset ketenteraan AS di negara Teluk turut hancur akibat dibedil Iran. Kapal-kapal tentera dan dagangan milik AS turut diserang bertubi-tubi sehingga musnah di perairan selat Hormuz.
Konflik yang tercetus sejak 7 Oktober bukan sahaja membawa korban besar kepada rakyat Palestin, Yaman, Iraq dan Lubnan.
Malah, Iran sendiri turut menanggung kehilangan besar apabila rakyat awam serta tokoh kepimpinan negara menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh Israel.
Mereka yang terkorban ini termasuklah pemimpin tertinggi Iran yang sering menyeru ke arah penyatuan umat Islam, Al Marhum Asy Syahid Ayatullah Sayyid Ali Khamenei.
Menanggung kos
Dalam naratif penyokong Axis of Resistance, pengorbanan tersebut menjadi bukti bahawa sokongan Tehran terhadap Palestin bukan sekadar retorik politik.
Iran bukan sahaja mengeluarkan kenyataan dan sokongan diplomatik, tetapi turut menanggung kos ketenteraan, politik dan korban jiwa kerana pendiriannya terhadap perjuangan Palestin.
Namun, persoalannya mengapa sebahagian pendukung negara-negara Arab masih menuduh Iran, Yaman dan Hizbullah sebagai pihak yang memusuhi umat Islam?
Jika ukuran yang digunakan ialah sikap keras terhadap Israel dan mendukung isu Palestin, bukankah tindakan pemimpin negara Arab juga wajar dinilai dan dipersoalkan secara objektif.
Sebaliknya, terdapat sumber rasmi mengatakan beberapa kerajaan Arab lebih mengutamakan hubungan strategik dengan AS berbanding konfrontasi dengan Israel.
Syria dan Arab Saudi misalnya, sering menjadi sasaran kritikan keras masyarakat antarabangsa kerana hubungan mereka dengan kuasa-kuasa besar seperti AS dan Israel serta dasar polisi serantau masing-masing.
Khususnya Arab Saudi, pengkritik mendakwa hubungan keselamatan dan strategik Riyadh dengan Washington menyebabkan negara itu tidak mengambil pendekatan ketenteraan terhadap Israel.
Walaupun Riyadh secara rasmi menyokong hak rakyat Palestin, pengkritik mempersoalkan perbezaan antara kenyataan politik dan tindakan di lapangan.
Syria pula menjadi medan persaingan besar antara Iran, Israel, Amerika Syarikat, Rusia dan kuasa-kuasa serantau lain.
Pengkhianatan
Dakwaan bahawa terdapat kerjasama atau persefahaman tertentu antara pihak Syria dengan AS dan Israel dilihat sebagai sebuah pengkhianatan yang tidak dapat diterima secara langsung oleh masyarakat Islam terutamanya.
Dalam konteks ini, istilah “proksi Iran” juga sering digunakan oleh AS dan Israel untuk menggambarkan Hizbullah, Ansarullah serta kumpulan bersenjata tertentu di Iraq.
Iran dan kumpulan-kumpulan tersebut pula menolak gambaran bahawa mereka sekadar alat Tehran dan menyifatkan perjuangan mereka sebagai gerakan penentangan melawan kezaliman.
Menariknya, mereka yang menuduh Iran dan sekutunya “memusuhi umat Islam” jarang menjawab satu soalan mudah:
Kalau benar mereka memusuhi umat Islam, mengapa Israel yang menjadi sasaran serangan utama mereka (Iran dan Yaman) ketika Palestin sedang dihancurkan?
Namun, persoalan yang wajar ditanya juga ialah mengapa naratif terhadap Iran dan sekutunya kadangkala hanya menekankan hubungan mereka dengan Iran, tetapi kurang meneliti hubungan negara-negara Arab dengan AS dan Israel?
Naratif Arab Saudi memulakan serangan dan membunuh ribuan rakyat Yaman serta kenapa Arab Saudi tidak menghala serangan mereka ke arah Israel tidak dipersoalkan?
Dalam geopolitik, jangan terperangkap dengan label “pro-Iran” atau “pro-Arab”. Negara diukur melalui bagaimana tindakan mereka , dan pendirian terhadap masyarakat tertindas di seluruh dunia khususnya Palestin serta hubungan strategik dengan rejim penindas seperti Israel dan AS.
Persoalannya, bukan siapa paling lantang, tetapi siapa yang benar-benar bertindak, dan siapa pula yang mendapat keuntungan apabila dunia Islam terus berpecah?
Alhamdulillah, dalam isu ini kerajaan Malaysia kekal teguh menyatakan sokongan kepada Palestin dan menolak tindakan serta pendudukan rejim Israel.
Pendirian ini wajar dihargai kerana Malaysia terus membawa suara Palestin di peringkat antarabangsa.
*ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN merupakan pemerhati geopolitik Asia Barat.