Di sebalik video tular dan YouTube, Fahmi ingatkan ancaman pemangsa seksual terhadap kanak-kanak

Perkembangan pesat industri kandungan digital termasuk YouTube perlu diseimbangkan dengan langkah melindungi kanak-kanak daripada ancaman pemangsa seksual dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara kebimbangan utama ialah kegiatan pengantunan kanak-kanak (child grooming), khususnya apabila pengguna bawah umur berinteraksi dengan individu dewasa yang berpotensi memperdaya dan mengeksploitasi mereka.

“Kita nak menggalakkan penghasilan kandungan kreatif termasuk dalam platform seperti YouTube.

“Namun, cabaran kita adalah untuk memastikan aspek-aspek jenayah seperti jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak ini tidak berlaku.

“Yang menjadi keutamaan adalah mengelakkan anak-anak daripada menggunakan platform untuk bercakap dengan orang dewasa yang berkemungkinan akan memangsakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Creators for Impact 2026 anjuran Google di Kuala Lumpur.

Ekonomi digital negara

Fahmi menjelaskan, Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menggalakkan penghasilan kandungan kreatif sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekonomi digital negara.

Katanya, Majlis Ekonomi Jingga yang ditubuhkan bagi menyelaras dasar dan meneliti program berkaitan ekonomi kreatif turut berperanan membantu perkembangan industri tersebut.

Mengulas program Creators for Impact 2026, beliau berkata inisiatif itu memberi pendedahan kepada pencipta kandungan mengenai teknik menghasilkan bahan digital yang menarik, relevan dan mampu menyampaikan mesej keselamatan internet kepada masyarakat.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi menekankan bahawa pencipta kandungan mempunyai pengaruh penting dalam membentuk kesedaran golongan muda mengenai penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab.

Menurutnya, kreativiti penghasilan video dan kandungan digital boleh dimanfaatkan untuk mendidik pengguna supaya lebih memahami risiko jenayah dalam talian, bukan sekadar menyediakan hiburan atau mengejar jumlah tontonan.

Sehubungan itu, beliau mahu kerjasama antara kerajaan, syarikat teknologi dan pencipta kandungan diperkukuh bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan dengan lebih berkesan, khususnya kepada kanak-kanak dan remaja.

Usaha tersebut juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan industri ekonomi kreatif yang berdaya saing, di samping memastikan manfaat perkembangan teknologi dapat dinikmati masyarakat dalam persekitaran digital yang lebih selamat.

BACA JUGA Pas terus sakan persoal ‘lighad’ PMX, padahal teks Belanjawan 2027 dah sebut pun ‘hari akhirat’