Raja-Raja Melayu akhirnya bersuara, usah jadikan kemelut takhta Negeri Sembilan medan rebut kuasa
Raja-Raja Melayu menitahkan supaya kemelut institusi takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak dijadikan bahan politik, medan perebutan kuasa atau peluang bagi mana-mana pihak meraih sokongan dan meningkatkan pengaruh.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Raja-Raja Melayu turut menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri pertikaian berkenaan, sebaliknya menyerahkan usaha penyelesaian kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah.
“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa,” menurut kenyataan yang ditandatangani Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan kemuliaan institusi diraja.
Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat dalam pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diseru mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja.
Menurut kenyataan tersebut, sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan secara beradab dan beradat melalui saluran yang sah, berautoriti serta berwibawa, berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Penyelesaian juga perlu dicapai melalui semangat syura dan musyawarah dengan memanfaatkan ruang perundingan secara ikhlas tanpa merendahkan atau menghina mana-mana pihak.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Tanggungjawab besar
Dalam pada itu, Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa takhta merupakan suatu amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat, justeru semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta kemuliaan institusi diraja hendaklah sentiasa dipelihara.
Semua pihak turut diingatkan supaya mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mengaibkan pihak lain atau tindakan yang berpotensi memburukkan keadaan.
Menurut kenyataan tersebut, tindakan atau kenyataan yang dibuat tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan Negeri Sembilan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Raja-Raja Melayu turut menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan atau terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Sehubungan itu, semua pihak diminta memberikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawab serta amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan.
“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan itu lagi.