Bukan setakat rakyat, PMX pun sanggup basah kuyup kerana Siti Nurhaliza
Siapa sangka, di sebalik kesibukan menguruskan pentadbiran negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sanggup berhujan demi menikmati persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Kehadiran Anwar pada Konsert Gema Bumantara Siti di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi mencuri perhatian apabila beliau dilihat mengenakan ponco hujan bersama penonton lain.
Biarpun keadaan hujan menyebabkan penonton basah kuyup, suasana itu ternyata tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menikmati persembahan penyanyi tersohor tanah air berkenaan.
Lebih menarik, Anwar dilaporkan berada bersebelahan suami Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K, ketika menyaksikan konsert tersebut.
PMX juga berkongsi gambar semasa menonton konsert di Facebook rasminya, suasana konsert memperlihatkan penonton yang ceria, tersenyum dan mengangkat tangan meskipun terpaksa mengenakan baju hujan.
Kehadiran Perdana Menteri dalam suasana santai seperti itu turut memperlihatkan sisi berbeza Anwar yang lazimnya dilihat menghadiri mesyuarat rasmi, program kerajaan dan urusan diplomatik.
Kali ini, beliau hadir sebagai penonton yang turut menikmati persembahan seni bersama ribuan peminat Siti Nurhaliza.
Konsert berkenaan juga memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh Siti Nurhaliza dalam industri hiburan negara apabila hujan sekalipun tidak menghalang peminat daripada memberikan sokongan.
Bagi Anwar, kehadiran tersebut boleh dilihat sebagai satu bentuk penghargaan terhadap anak seni tempatan yang telah mengharumkan nama Malaysia sepanjang kerjayanya.
Ternyata, bukan rakyat biasa sahaja yang sanggup basah kuyup kerana Siti Nurhaliza. Perdana Menteri Malaysia juga tidak terkecuali!
Anwar turut mencatatkan rasa seronok malam tadi kerana dapat menikmati persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara.
‘’… yang begitu indah mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara. Walaupun hujan turun, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan, hebat Datuk Seri Siti, hebat juga semangat peminatnya,’’tulisnya.
Anwar juga merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa.
‘’Saya sentiasa percaya seni dan budaya dekat di hati rakyat, justeru warisan ini mesti terus dihidupkan agar turut dinikmati dan dicintai generasi muda.
‘’Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,’’ujarnya.
BACA JUGA ARTIKEL | Jangan takut menegur kuasa: Keberanian mahasiswa cabaran kepimpinan