Fadhlina ambil tindakan undang-undang, dakwa video ucapannya dimanipulasi

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, mengarahkan peguam mengeluarkan notis tuntutan terhadap seorang individu susulan penyebaran video yang didakwa memanipulasi rakaman ucapannya di Parlimen.

Fadhlina berkata video yang disiarkan pada 6 Oktober itu menggunakan rakaman suaranya ketika berucap mengenai Minggu Solidariti Palestin di Parlimen pada 2023, tetapi diambil di luar konteks asal sehingga seolah-olah merujuk kepada insiden keselamatan dan kematian murid di sekolah.

Menurutnya, kebebasan bersuara merupakan hak yang perlu dihormati, namun hak itu turut menuntut tanggungjawab untuk memastikan maklumat yang disebarkan berasaskan kebenaran dan fakta.

“Saya sentiasa terbuka menerima kritikan terhadap dasar dan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia. Perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan terdapat perbezaan antara mengkritik dasar kerajaan dengan menggunakan kenyataan di luar konteks sehingga memberikan gambaran yang salah kepada masyarakat.

Fadhlina berkata tindakan undang-undang itu diambil susulan penyebaran video berkenaan yang didakwanya memanipulasi rakaman ucapan asal.

Beliau turut menegaskan kebebasan bersuara dan perlindungan terhadap reputasi seseorang perlu berjalan seiring dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Kritikan harus terus diraikan. Manipulasi fakta tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika isu penyebaran kandungan di media sosial terus menimbulkan persoalan mengenai batas antara kebebasan menyuarakan pandangan dengan penyampaian maklumat yang boleh mengelirukan orang ramai.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai identiti individu yang menerima notis tuntutan dan tuntutan khusus yang dikemukakan tidak dinyatakan dalam kenyataan Fadhlina itu.

BACA JUGA Empat tahun rumah tak siap, 2,400 pembeli Residensi Hektar Gombak kini nampak sinar