Akmal akui serang Teresa ketika marah, Khalid pula dakwa kenyataan Akmal melampaui batas
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengakui di Mahkamah Tinggi Melaka bahawa beliau merakam video menyerang Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam keadaan marah, tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan yang mencetuskan kontroversi.
Pengakuan itu direkodkan dalam alasan penghakiman bertarikh 19 Oktober 2026 yang turut mendedahkan keterangan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, bahawa serangan Akmal terhadap Teresa sudah melangkaui batas perbahasan dasar sehingga menjadi penghinaan peribadi.
Menurut dokumen penghakiman setebal 15 halaman itu, Akmal mengakui ketika pemeriksaan balas bahawa beliau bertindak selepas membaca petikan kenyataan Teresa mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal kepada premis makanan tertentu.
Lebih menarik, Akmal turut mengakui bahawa tujuan utamanya menghasilkan video berkenaan adalah untuk ‘membidas’ Teresa secara peribadi, bukannya sekadar membahaskan dasar pensijilan halal.
Video yang diterbitkan pada 7 September 2024 itu mengandungi beberapa kenyataan termasuk memanggil Teresa sebagai ‘Nyonya tua’, menyuruhnya berdiam diri dan mencadangkan supaya logo tidak halal ditampal pada dahinya.
Kebimbangan ekonomi
Dalam perbicaraan tersebut, Khalid yang tampil sebagai saksi Teresa menjelaskan bahawa isu asal yang dibangkitkan Ahli Parlimen DAP itu merupakan kebimbangan ekonomi yang sah, khususnya mengenai beban kos kepada peniaga kecil.
Bagaimanapun, Khalid berpandangan tindakan Akmal menggunakan gelaran ‘Nyonya tua’ dan mencadangkan penandaan tidak halal pada dahi Teresa sudah melangkaui perdebatan mengenai dasar kerajaan.
Khalid turut memberikan pandangan sebagai seorang Muslim bahawa tindakan melabel seseorang sebagai tidak halal boleh membawa implikasi menghina, termasuk menggambarkan individu berkenaan sebagai musuh Islam.
Mahkamah bagaimanapun merekodkan bahawa Khalid mengakui beliau bukan seorang sarjana agama Islam yang terlatih, sebaliknya memberikan pandangan berdasarkan kefahamannya sendiri.
Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Isa Aziz Ibrahim mendapati kenyataan Akmal bukan sekadar kritikan terhadap dasar, sebaliknya membawa maksud fitnah yang serius terhadap reputasi Teresa.
Mahkamah turut menolak pembelaan komen berpatutan yang dikemukakan Akmal kerana tiada asas fakta mencukupi untuk menyokong tuduhan bahawa Teresa berterusan menggugat keharmonian negara.
Lebih memburukkan kedudukan Akmal, mahkamah mendapati beliau mempunyai keupayaan memadam video tersebut daripada TikTok, Facebook dan Instagram, tetapi memilih untuk mengekalkannya sehingga perbicaraan berlangsung.
Akmal juga tidak mengemukakan permohonan maaf atau menarik balik kenyataannya, sesuatu yang diambil kira mahkamah ketika menilai unsur niat jahat dan jumlah ganti rugi.
Mahkamah akhirnya memerintahkan Akmal membayar RM250,000 sebagai ganti rugi am dan teruk serta RM50,000 kos kepada Teresa, selain mengarahkan video berkenaan dipadam dalam tempoh tujuh hari dan melarang penerbitan semula kenyataan fitnah tersebut.
Penghakiman ini sekali gus membawa mesej bahawa perbezaan pandangan mengenai dasar kerajaan, termasuk isu sensitif berkaitan agama, tidak memberikan kebebasan kepada mana-mana pemimpin politik untuk menyerang maruah seseorang tanpa asas fakta.
BACA JUGA Dulu saya dihentam kerana kritik Dr Sam, kini PN dibatalkan – Dr Tawfik